Perak Hari Ini

Padah Jual Telur Melebihi Harga Kawalan, Peniaga Dikompaun RM2,500

PARIT BUNTAR- Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Perak telah mengenakan kompaun serta merta sebanyak RM2,500 kepada peniaga yang ingkar terhadap harga kawalan musim perayaan.

Ketua Pegawai Penguat Kuasa Daerah, KPDNHEP Parit Buntar, Mat Jidin Hassan berkata, pihaknya telah menerima aduan daripada orang awam mengenai sebuah premis yang didapati menjual Telur Ayam Gred A pada harga yang melebihi harga kawalan musim perayaan.

Katanya, pada 28 Mei 2020 dan kira-kira jam 11.00 pagi, seramai empat anggota Pegawai Penguatkuasa KPDNHEP Parit Buntar telah menjalankan pemeriksaan ke atas premis yang diadu yang terletak di pekan Parit Buntar.

“Hasil siasatan yang dijalankan didapati kedai runcit tersebut telah menjual telur ayam Gred A pada harga RM0.45 sen sebiji berbanding RM0.40 sen sebiji yang ditetapkan kerajaan melalui ujibeli yang telah dilakukan.

“Sehubungan itu, satu tindakan kes telah diambil dan pemilik perniagaan telah dikenakan kompaun serta merta sebanyak RM2,500 kerana peniaga gagal mematuhi dan melanggar Seksyen 11 Akta Kawalan Harga dan Anti-Pencatutan 2011,” katanya dalam satu kenyataan semalam.

Dalam pada itu katanya, bermula 20 Mei sehingga 27 Mei 2020 KPDNHEP Parit Buntar telah membuat pemeriksaan terhadap 221 premis perniagaan di peringkat borong dan runcit sepanjang tempoh pelaksanaan Skim Harga Maksimum Musim Perayaan  Hari Raya Puasa 2020.

“Pihak KPDNHEP mengingatkan semua peniaga supaya lebih beretika atau tindakan tegas akan diambil sekiranya gagal mematuhi semua undang-undang di bawah Akta yang dikuatkuasakan oleh KPDNHEP.

“Pengguna pula disarankan untuk menggunakan hak pengguna  dengan bijak semasa berbelanja untuk mengelak dari dimanipulasi oleh para peniaga,” katanya.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");