Perak Hari Ini

Pasaraya, Peniaga Dikompaun RM7,500 Tak Patuh Skim Harga Maksimum

IPOH- Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Perak mengenakan kompaun kepada sebuah pasaraya dan seorang peniaga kerana gagal mematuhi dan melanggar skim harga kawalan menjelang musim perayaan.

Ketua Pegawai Penguatkuasa, V Ravichandran berkata, pihaknya telah menerima aduan daripada orang awam mengenai dua buah premis yang didapati menjual ayam standard dan cili merah pada harga yang melebihi harga kawalan musim perayaan iaitu RM7.70 sekilogram bagi Ayam Standard dan RM18.00 bagi Cili Merah.

Katatanya, pada 23 Mei 2020, sebanyak 3 pasukan seramai 14 Pegawai Penguatkuasa KPDNHEP Perak telah menjalankan pemeriksaan ke atas premis-premis yang diadu yang terletak di sekitar Ipoh, Perak.

“Hasil siasatan aduan pertama didapati pasaraya ini menjual Ayam Standard pada harga RM7.70 sekilogram berbanding RM7.50 sekilogram yang ditetapkan kerajaan, melalui penandaan harga pada barangan yang diadu.

“Satu tindakan kes telah diambil dan pasaraya ini telah dikenakan kompaun serta merta sebanyak RM5,000 kerana peniaga gagal mematuhi dan melanggar Seksyen 11 Akta Kawalan Harga dan Anti-Pencatutan 2011 iaitu menjual atau menawarkan untuk menjual barangan harga terkawal selain mengikut harga maksimum runcit yang ditentukan di bawah perintah kawalan harga dan anti pencatutan (Penentuan Harga Maksimum)(No.3) 2020.

“Hasil siasatan aduan kedua pula mendapati seorang peniaga runcit di sekitar Chemor menjual Cili Merah yang merupakan barangan harga terkawal musim perayaan pada harga RM18 berbanding RM13 yang telah ditetapkan kerajaan.

“Satu tindakan kes telah diambil dan peruncit ini telah dikenakan kompaun serta merta sebanyak RM2,500 di atas kesalahan yang sama,” katanya.

Menurut beliau, bagi pelaksanaan Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP) Hari Raya Puasa yang bermula 20 mei lalu, KPDNHEP Perak telah menerima sebanyak 26 aduan dan memeriksa 1022 premis perniagaan.

“Sebanyak dua tindakan kes telah dihasilkan dan jumlah kompaun yang diterima adalah sebanyak RM 7,500.

“KPDNHEP Perak juga mengingatkan semua peniaga supaya lebih beretika atau tindakan tegas akan diambil sekiranya gagal mematuhi semua undang-undang di bawah Akta yang dikuatkuasakan oleh KPDNHEP.

“Semua peniaga hendaklah lebih prihatin dan lebih beretika dalam tempoh pelaksanaan SHMMP Hari Raya Puasa 2020 bagi memastikan barangan kawalan dijual dengan harga yang ditetapkan dan pengguna mendapat bekalan yang mencukupi,” katanya.

Sementara itu tambah beliau, hasil siasatan bagi aduan ketiga mendapati pemilik bengkel telah melakukan kesalahan iaitu pelanggaran di bawah Peraturan 5 Peraturan-peraturan Perlindungan Pengguna (Pendedahan Maklumat Bengkel) 2002 di mana peniaga gagal mematuhi pendedahan maklumat senarai barang ganti dan senarai perkhidmatan pembaikan yang ditetapkan.

“Pemilik bengkel telah dikenakan tindakan kompaun serta-merta sebanyak RM2,000 di atas kesalahan yang telah dilakukan,” katanya.

Justeru itu, beliau menyarankan pengguna agar menggunakan hak pengguna dengan bijak semasa bebelanja semasa tempoh pelaksanaan Skim ini untuk mengelak dari dimanipulasi oleh para peniaga.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");