Perak Hari Ini
Like

Pemandu Gagal Kawal Lori: Sorang Maut, Lebuhraya Sesak Lebih 2 Kilometer

May 27, 2020
289 Views
0 Comments
2 minutes read
Pemandu Gagal Kawal Lori: Sorang Maut, Lebuhraya Sesak Lebih 2 Kilometer

TANJUNG MALIM: Seorang lelaki maut dalam satu kemalangan melibatkan sebuat lori tangki diesel dengan van muatan wang tunai di Kilometer 389.5 Lebuhraya Utara Selatan arah utara yang turut menyebabkan kesesakan di kedua arah pada tengahari tadi.

Ketua Polis Daerah Muallim, Supt. Sulizmie Affendy Sulaiman berkata, kemalangan berlaku dipercayai berpunca akibat daripada pemandu lori yang gagal mengawal kenderaannya lalu merempuh belakang van itu.

Menurut beliau, pihaknya menerima laporan kemalangan melibatkan dua buah lori iaitu lori tangki diesel dan lori muatan sayur serta sebuah van muatan wang tunai pada jam 12.30 tengahari.

“Siasatan awal mendapati kemalangan dipercayai berpunca daripada pemandu lori tangki diesel dari Klang ke Slim River itu disyaki gagal mengawal lori dan melanggar belakang van muatan wang tunai, seterusnya menyebabkan van tersebut melanggar belakang lori jenis Isuzu.

“Akibat daripada perlanggaran itu, mangsa yang dikenali sebagai Iruwan Mohd Ratki, 39, yang duduk di bahagian belakang van meninggal dunia di lokasi kejadian.

“Pemandu van cedera parah dan seorang lagi penumpang di bahagian hadapan cedera ringan manakala kedua – dua pemandu lori tersebut tidak mengalami sebarang kecederaan,”katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Ujarnya, kes disiasat di bawah Seksyen 41 (1) APJ 1987.

Sementara itu Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak berkata laluan di kedua-dua arah lebuhraya tersebut ditutup bagi kerja-kerja pengalihan dan pembersihan.

”Kemalangan melibatkan sebuah lori tanker muatan diesel terbabas dan telah melanggar sebuah van yang membawa muatan duit, terdapat tiga orang mangsa di dalam van tersebut, seorang mangsa telah tersepit dan berjaya dikeluarkan oleh anggota bomba, seorang telah meninggal dunia di lokasi dan seorang lagi mengalami kecederaan ringan manakala pemandu tanker selamat.

Bagaimanpun katanya, terdapat kebocoran pada tanker dan berlaku tumpahan diesel di lokasi kejadian dan Pasukan Hazmat turut digerakkan ke lokasi kejadian.

Terdahulu, Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) memaklumkan kemalangan yang melibatkan sebuah lori tangki muatan diesel dan van muatan wang tunai di Kilometer (KM) 389.4 Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) arah utara menyebabkan kedua-dua arah laluan lebuhraya terhalang dan sesak kira-kira 2 kilometer.

Komen & Pendapat

Comments are closed.