Berita Hari Ini

Pemandu teksi kecewa BPN tak lulus sebab ada data SSM walaupun merayu

Persatuan pemandu teksi tetap kecewa apabila mereka yang tidak mendapat Bantuan Prihatin Nasional (BPN) kerana mereka atau pasangan mempunyai syarikat berdasarkan data Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM).

Presiden Gabungan Teksi SeMalaysia, Kamaruddin Mohd Hussain berkata, walaupun kerajaan mengumumkan lanjutan rayuan sehingga 31 Mei, isu SSM adalah isu yang sengaja diwujudkan sejak zaman kerajaan Pakatan Harapan dalam menyalurkan bantuan kepada rakyat, khusus warga teksi.

“Kami daripada Gabungan Teksi Malaysia menerima banyak aduan dan rungutan daripada ahli kami di seluruh negara termasuk Sabah dan Sarawak yang mendakwa mereka tidak layak menerima BPN kerana mereka atau pasangan mereka mempunyai syarikat berdasarkan data agensi SSM.

“Sekalipun kerajaan mengumumkan permohonan yang tidak diluluskan boleh membuat rayuan di kaunter Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) bermula esok sehingga 31 Mei 2020, namun kami berpendapat tanpa perhatian khusus daripada kerajaan untuk mendengar sendiri pencerahan daripada pihak kami, isu SSM membabitkan pemandu teksi tidak akan selesai dan pemandu teksi tidak akan mendapat pembelaan sewajarnya,” katanya kepada FMT.

Sebelum itu, Kementerian Kewangan melanjutkan tempoh rayuan permohonan BPN sehingga 31 Mei ini selepas kerajaan mengambil kira aduan orang ramai yang gagal memohon atas pelbagai sebab.

Perdana Menteri Muhyiddin Yassin menjelaskan antara sebab permohonan ditolak kerana maklumat tidak lengkap atau pemohon bagi kategori bujang sebenarnya sudah terima BPN bagi kategori pelajar.

Di samping itu, ada juga permohonan ditolak kerana rekod menunjukkan pendapatan pemohon melebihi syarat.

Dalam pada itu, Kamaruddin berkata kaunter LHDN akan berlaku kesesakan dan tidak mustahil ia akan menjadi pusat penularan wabak Covid-19.

Beliau berkata pihaknya berkali-kali menghantar surat memohon keprihatinan kerajaan agar mempertimbangkan rayuan untuk pemandu teksi yang tercicir daripada insentif bantuan one-off sebanyak RM600 menerusi Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat (Prihatin) kerana masalah kad pemandu.

“Namun, malangnya sehingga ke hari ini tiada sebarang maklum balas daripada kerajaan.

“Kami mohon dan berharap, perdana menteri akan beri perhatian terhadap rayuan kami,” katanya.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");