Perak Hari Ini

PEMATAP Nafi Wujud Kluster Baru Covid-19 Di Pondok Tahfiz

BATU GAJAH- Pondok Tahfiz As Sharif, Batu Gajah menafikan tuduhan berhubung isu viral seorang awam yang membuat tuduhan kononnya terdapat seorang pelajar yang dilaporkan positif wabak koronavirus (Covid-19).

Pengerusi Persatuan Maahad Tahfiz Al-Quran Negeri Perak (PEMATAP), Mohd Azlan Suhaimi berkata, pihak memandang serius terhadap tuduhan atau fitnah yang dilemparkan oleh seorang awam ke atas pondok tahfiz berkenaan.

Katanya, Pengetua Pondok, Ustaz Azizul Yahya telah menafikan sendiri tuduhan berkenaan dan satu laporan polis telah dibuat.

“Pondok tahfiz tersebut merupakan salah sebuah Institusi Tahfiz Swasta yang dalam proses mendaftar dengan Jabatan Agama Islam Negeri Perak (JAIPk).

“Tuduhan sedemikian bukan sahaja boleh mencetuskan kebimbangan masyarakat setempat malah amat mengelirukan sehingga boleh menjejaskan nama baik maahad tahfiz berkenaan bahkan melibatkan seluruh maahad tahfiz di negeri Perak khususnya dan negara amnya,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Kata Mohd Azlan, sikap pihak berkenaan yang terus berdiam diri dan tidak mahu mengakui kesilapan sekaligus telah memberi gambaran sikap prejudis kepada institusi tahfiz.

“Sikap tidak bertanggungjawab ini amat dikesali dan sewajarnya pihak berkenaan insaf dan memohon kemaafan secara terbuka.

“PEMATAP ingin menjelaskan di sini bahawa dalam tempoh PKP ini, pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) telah mengeluarkan arahan wajib pada semua maahad tahfiz seluruh negara sama ada kakitangan, pelajar dan guru-guru untuk menjalani saringan COVID-19.

“Sehingga kini warga maahad tahfiz di negeri Perak telah menjalani saringan COVID-19 sekurang-kurangnya satu kali dan ada yang telah memasuki saringan kali ke-2 malahan sebahagian besar premis maahad tahfiz juga telah melalui proses nyah kuman,” katanya.

Ujarnya, seluruh maahad tahfiz Perak yang berjumlah 116 buah telah mematuhi segala arahan PKP dari pihak Kerajaan Persekutuan dan juga pihak JAIPk.

“Sehingga kini, tidak ada sebuah maahad tahfiz yang beroperasi dan jika ada sudah pasti pihak kerajaan membuat pemantauan yang cukup ketat.

“Pengurusan maahad tahfiz di negeri Perak juga sedang menungggu apakah SOP yang perlu dipatuhi apabila operasi dibenarkan semula oleh pihak kerajaan,” katanya.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");