Panasnya Hari Ini

Pengguguran Keahlian: ARMADA Sedia Rujuk Undang-undang

PUTRAJAYA: Angkatan Bersatu Anak Muda (ARMADA) Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) sedia merujuk kepada saluran undang-undang berhubung isu pengguguran keahlian lima pemimpinnya.

Ketuanya, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, berkata BERSATU mempunyai perlembagaan yang jelas bagi menangani isu seperti itu.

“Kita akan ikut saluran yang ada iaitu memastikan pihak kami didengari termasuk oleh ROS (Jabatan Pendaftar Pertubuhan) dan undang-undang. Kita ikut undang-undang yang sedia ada,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media bagi mengulas kemelut pengguguran keahlian lima pemimpin BERSATU termasuk dirinya Yayasan Sedar di sini, hari ini, lapor BH Online.

Beliau berkata, dalam merangka perlembagaan BERSATU sebelum ia didaftarkan dulu, hak untuk mempertahankan diri memang diberi keutamaan kepada setiap ahli dan pemimpinnya.

Katanya, perlembagaan BERSATU tidak pernah memberi hak secara mutlak kepada mana-mana pihak untuk memecat dan menggugurkan keahlian seseorang.

“Sebab perlembagaan ini dibuat berdasarkan pengalaman (Presiden BERSATU) Tan Sri Muhyiddin Yasin selepas dia dilucutkan jawatan sebagai Timbalan Presiden UMNO. Dia tidak dipanggil ke lembaga disiplin dan meminta untuk membuat pendirian.

“Apabila kami rangka perlembagaan (BERSATU) klausa (yang memberi hak mutlak mana-mana pihak menggugurkan keahlian) seperti dalam perlembagaan UMNO tidak ada pada kami,” katanya.

Sebab itu kata beliau, pemakluman mengenai pengguguran keahlian yang dibuat terhadap lima pemimpin BERSATU sebagai tidak adil dan tidak bersandar kepada fakta yang betul.

Mengulas mengenai kedudukan di Parlimen, Syed Saddiq menjelaskan kelima-lima mereka sebenarnya memilih untuk berada di blok yang tidak berpihak kepada pembangkang dan kerajaan.

“Kami setuju akan duduk di tengah, bebas sebagai Ahli Parlimen BERSATU kerana ini pendirian terakhir kami kepada parlimen. Tuduhan kami duduk di kerusi PH (Pakatan Harapan) tak sama sekali betul.

“Perikatan Nasional (PN) pun tidak rasmi dan pendirian mereka (UMNO) adalah pendirian Ahli Parlimen untuk menyokong Muhyiddin. Kalau semua parti tidak menjalinkan kerjasama dengan BERSATU. Ini adalah sokongan individu, Ahli Parlimen,” katanya.

Dalam pada itu, Ahli Parlimen Muar itu turut mendakwa Ahli Parlimen Larut, Datuk Seri Hamzah Zainudin, adalah watak utama yang menyebabkan keahlian lima pemimpin BERSATU digugurkan.

Beliau juga mendakwa, Hamzah antara individu yang mahu supaya bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad disingkirkan sebagai Pengerusi BERSATU.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");