Perak Hari Ini

Peniaga Diingat Untuk Patuhi Skim Harga Maksimum Menjelang Musim Perayaan

IPOH- Kementerian Pedagangan dalam Negeri Dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Negeri Perak telah mengumumkan pelaksanaan Skim Harga Maksimum Musim Perayaan Hari Raya Puasa (SHMMP HRP) 2020 selama 15 hari.

Pengarahnya, Saifullizan Kamarul Zaman berkata, skim yang diumumkan pada 19 Mei 2020 yang lalu akan berkuatkuasa pada 20 Mei sehingga 3 Jun 2020.

“Pelaksanaan SHMMP HRP 2020 kali ini agak berbeza memandangkan Sambutan Hari Raya Puasa pada tahun ini disambut dalam tempoh pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

“Pelaksanaan skim ini juga dibuat dengan beberapa penyesuaian masa dan barangan bagi menstabilkan harga dan bekalan di pasaran,” katanya dalam satu kenyataan.

Menurut beliau, bagi negeri Perak, sebanyak 10 jenis barangan yang dikawal melalui skim ini iaitu ayam hidup, ayam standard, ayam super, daging lembu tempatan, daging kerbau import, telur gred A, B dan C serta kelapa biji dan kelapa parut.

“Harga yang diwartakan ini merupakan harga maksimum peniaga boleh menjual barang-barang harga terkawal ini dengan harga yang lebih rendah,” katanya.

Tambah beliau, sepanjang tempoh pelaksanaan Skim tersebut juga, peniaga dikehendaki mematuhi arahan yang ditetapkan seperti memastikan barangan harga terkawal dijual tidak melebihi harga maksimum yang telah ditetapkan.

“Peniaga perlu meletakkan tanda harga berwarna merah jambu ke atas barangan harga terkawal, memastikan bekalan barangan mencukupi di pasaran dan menggunakan alat timbang dan sukat yang telah ditentusahkan,” katanya.

Sementara itu tambah Saifullizan, pihaknya telah melakukan pemantauan selama dua hari dan keputusannya adalah baik.

“Hasil pemantauan dan pemeriksaan yang dijalankan di sekitar Negeri Perak pada hari pertama dan kedua tempoh pelaksanaan Skim ini, didapati tahap pematuhan oleh peniaga terhadap barangan harga terkawal adalah baik.

“Selain itu, didapati bekalan bagi barangan lain yang tidak termasuk di dalam senarai barangan harga terkawal musim perayaan seperti tomato, bawang merah kecil dan besar, kacang panjang, kobis dan hasil-hasil laut adalah mencukupi untuk menampung permintaan pengguna di musim perayaan ini,” katanya.

Menurut beliau lagi, tindakan tegas akan diambil terhadap peniaga yang gagal mematuhi undang-undang yang dikuatkuasakan dan boleh dikenakan penalti seperti yang ditetapkan.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");