Perak Hari Ini

Peniaga Dikompaun RM2,000 Naikkan Harga, Tak Letak Tanda Harga

IPOH- Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Perak telah mengenakan kompaun serta merta sebanyak RM2,000 kepada peniaga kerana gagal meletakkan atau mempamerkan tanda harga.

Ketua Pegawai Penguatkuasa Negeri, V. Ravichandran berkata telah menerima aduan daripada orang awam mengenai sebuah premis yang didapati menjual Tepung Pulut pada harga yang tinggi iaitu RM7.50/paket semasa pelaksanaan Perintah Kawalan Bersyarat (PKPB).

Katanya, pada 5 Mei 2020 dan kira-kira jam 1.00 petang, sepasukan 5 Pegawai Penguatkuasa KPDNHEP Manjung, Perak telah menjalankan pemeriksaan ke atas premis yang diadu yang terletak di Sitiawan, Perak.

“Hasil pemeriksaan didapati peniaga ini merupakan premis runcit yang menjual tepung pulut pada harga RM7.50 satu paket tetapi gagal untuk meletakkan atau mempamerkan suatu tanda harga pada barangan yang diadu.

“Peruncit tersebut telah dikenakan kompaun serta merta sebanyak RM2,000.00 kerana gagal mematuhi dan melanggar subperenggan 3 (1), Perintah Kawalan Harga (Penandaan Oleh Penjual Runcit) 1993 iaitu sebagai peniaga runcit telah gagal untuk meletakkan label, teg atau tanda harga tunai pada barang yang dijual dan ianya menjadi kesalahan di bawah Perintah 5, Perintah Kawalan Harga (Penandaan Oleh Penjual Runcit) 1993,” katanya dalam satu kenyataan.

Bagaimanapun katanya, sebagai rekod, KPDNHEP Perak telah menerima sebanyak 361 aduan dan memeriksa 4261 premis perniagaan.

“Sebanyak 11 tindakan kes telah dihasilkan sepanjang tempoh pelaksanaan PKP Fasa 1 sehingga kini dan jumlah kompaun yang terkumpul adalah sebanyak RM 8,600.00.

“31 Notis Seksyen 21 Akta Kawalan Harga dan Anti-Pencatutan (AKHAP) 2011 juga telah dikeluarkan terhadap peniaga berikutan aduan dari orang awam yang mengatakan harga sayuran dan beberapa barangan keperluan telah meningkat dan siasatan masih dijalankan,” katanya.

Menurut beliau, KPDNHEP Perak akan mengeluarkan Notis Seksyen 21 AKHAP kepada peniaga untuk mengemukakan sebab perubahan harga beserta dokumen pembelian daripada pembekal untuk melengkapkan siasatan.

Jelas beliau, jika peniaga didapati mencatut, tindakan yang tegas akan dikenakan.

Namun begitu katanya, sepanjang tempoh PKP dan PKPB, bekalan barang keperluan asas untuk semua pengguna di seluruh Perak adalah mencukupi dan tiada laporan yang diterima berkaitan pembelian panik.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");