Perak Hari Ini

Perak Suntik RM71.17 juta Pada Fasa Kedua, Bantu Golongan Terkesan COVID-19

IPOH: Perak mengumumkan Pakej Rangsangan Ekonomi Negeri Perak Fasa Kedua dengan peruntukan RM71.17 juta yang bertujuan membantu golongan yang terkesan akibat Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) susulan penularan wabak COVID-19.

Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu berkata di bawah pakej tersebut, ia meliputi enam sektor di seluruh negeri.

Katanya kerajaan negeri memperuntukkan RM 18.36 juta bagi sektor pertanian, sektor perniagaan (RM15.60 juta), pelancongan (RM10.84 juta), pendidikan dan modal insan (RM9.6 juta), kebajikan dan sosial (RM 1.4 juta) serta cukai tanah (RM15.42 juta).

“Mengambil kira peruntukan RM30.44 juta yang telah dibelanjakan untuk Bantuan Fasa Pertama, jumlah keseluruhan Pakej Rangsangan Ekonomi Negeri Perak dengan ini adalah melebihi RM100 juta,” katanya.

Tambahnya antara inisiatif di bawah pakej tersebut adalah peruntukan RM1 juta bagi program Geran Prihatin Usahawan Bumiputera Negeri Perak, dengan kerjasama SME Corp.

Turut diumumkan peruntukan RM420,000 bagi latihan usahawan e-Dagang serta RM230,000 untuk membangunkan S.M.A.R.T. Niaga @ Perak sebagai platform bersepadu bagi membantu usahawan memasarkan produk dan perkhidmatan secara atas talian.

“Kerajaan Negeri memutuskan bahawa tarikh akhir bayaran cukai taksiran premis perniagaan bagi setengah tahun kedua tahun ini, dilewatkan dari bulan Ogos kepada bulan Oktober ini.

“Tarikh akhir bayaran cukai tanah bagi tahun ini pula dilewatkan dari 31 Mei kepada 30 Jun.

“Bagi meringankan beban golongan para peniaga dan pemain industri, Kerajaan Negeri akan memberikan diskaun bil air berperingkat kepada pengguna perniagaan dan industri pada kadar antara 2 peratus hingga 20 peratus selama empat bulan mulai Mei ini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan Pakej Rangsangan Ekonomi Negeri Perak Fasa Kedua, di sini, hari ini.

Dalam pada itu, Ahmad Faizal berkata Perak akan memberikan pengecualian denda lewat bagi cukai tanah berulang sehingga 31 Ogos ini bagi semua jenis hak milik.

“Pemberian diskaun 10 peratus hingga 20 peratus ke atas Tunggakan Cukai Tanah juga akan diberikan dengan anggaran kos sebanyak RM6.48 juta.

“Kerajaan Negeri juga akan memberikan diskaun 10 peratus ke atas bayaran premium tanah bagi Notis 5A dan 7G yang tamat tempoh sewaktu PKP dan tempoh tiga bulan dari tarikh tamat PKP,” jelasnya.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");