Panasnya Hari Ini

Perbicaraan Kes Rasuah Bung Moktar, Zizie Bermula 14 Mei

KUALA LUMPUR: Perbicaraan kes rasuah melibatkan ahli Parlimen Kinabatangan, Bung Moktar Radin dan isteri, Zizie A Samad akan bersambung pada 14 Mei di Mahkamah Seksyen, dengan saksi ke-5 pendakwaan akan meneruskan keterangannya.

Timbalan Pendakwa Raya, Mohamad Fadhly Mohd Zamry berkata, mahkamah menetapkan 14 dan 15 Mei untuk meneruskan perbicaraan.

“Pihak pembelaan akan menyoal balas saksi pendakwaan ke-5, seorang ahli Lembaga Pengarah Felcra Berhad, Habibah Suleiman apabila perbicaraan dimulakan pada hari tersebut,” katanya ketika ditanya mengenai tarikh baru perbicaraan tersebut.

Memetik FMT, perbicaraan kes itu kali terakhir diadakan pada 17 Mac di hadapan Hakim Rozina Ayob dan sepatutnya disambung pada 10 April dan kemudiannya pada 29 April, namun ditangguhkan akibat pelaksanaan perintah kawalan pergerakan.

Pada 3 Mei tahun lepas, Bung Moktar, 60, mengaku tidak bersalah atas 2 pertuduhan menerima rasuah sejumlah RM2.2 juta dan RM262,500 sebagai dorongan mendapatkan kelulusan Felcra untuk membuat pelaburan RM150 juta dalam unit amanah Public Mutual.

Bung Moktar yang merupakan pengerusi bukan eksekutif pada ketika itu, dituduh menerima rasuah daripada ejen pelaburan Public Mutual, Madhi Abdul Hamid, 38, menerusi isterinya, Zizie di Public Bank cawangan Taman Melawati di No. 262-265, Jalan Bandar 12, Taman Melawati antara 12.30 tengah hari dan 5 petang pada 12 Jun 2015.

Beliau juga mengaku tidak bersalah menerima suapan wang tunai untuk dirinya sebanyak RM335,500 daripada seorang lagi ejen pelaburan Public Mutual, Norlaili Ahmad Mokhtar, 42, bawah nama Zizie atas sebab yang sama.

Kesalahan tersebut didakwa dilakukan di tempat yang sama pada 19 Jun 2015.

Zizie juga mengaku tidak bersalah atas 3 kesalahan bersubahat dengan suaminya berhubung perkara yang sama, di tempat, tarikh dan masa yang sama.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");