Berita Hari Ini

Perkeso Nafi ERP Dihentikan

SHAH ALAM – Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) menafikan Program Pengekalan Pekerjaan (ERP) dihentikan kerana kekurangan dana seperti mana yang tular di laman sosial.

Sinar Harian melaporkan, Perkeso menerusi satu kenyataan hari ini memberi jaminan bahawa bantuan yang melibatkan dana keseluruhan RM120 juta itu masih diteruskan serta permohonan yang telah dibuat sehingga 27 April dan diluluskan adalah layak untuk terus menikmati bantuan kewangan tersebut.

Selain itu, pihaknya juga masih memproses permohonan untuk ERP serta akan mengagihkan dana kepada permohonan yang telah diluluskan berdasarkan syarat yang telah ditetapkan.

“Perkeso ingin mengesahkan bahawa mesej di Twitter dan tersebar di laman sosial adalah tidak benar dan bukan gambaran sebenar mengenai status bantuan ERP.

“Dalam Pakej Rangsangan Ekonomi yang diumumkan oleh kerajaan pada 16 Mac 2020, ERP telah diperkenalkan bagi mengurangkan beban kewangan majikan yang terkesan akibat pandemik koronavirus (Covid-19)

“Bantuan kewangan sebanyak RM600 sebulan itu bertujuan membantu pekerja yang menerima notis cuti tanpa gaji di mana bantuan ini dibayar kepada pekerja melalui majikan masing-masing,” katanya.

Katanya, sehingga semalam, Perkeso telah menerima sebanyak 27,222 permohonan daripada majikan yang melibatkan seramai 230,652 pekerja.

“Di bawah program tersebut, dana sebanyak RM120 juta itu mengambil kira bantuan kewangan untuk tempoh sebulan bagi 200,000 pekerja,” katanya.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");