Berita Hari Ini

PKP Longgar Bukan ‘Tiket’ Orang Ramai Boleh Bergerak Bebas

KUALA LUMPUR – Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) yang akan dilaksanakan kerajaan bermula Isnin ini dengan memberikan beberapa kelonggaran, bukan ‘tiket’ untuk orang ramai boleh bergerak bebas, kata Ketua Polis Negara Tan Sri Abdul Hamid Bador.

Beliau berkata orang ramai diminta untuk bersabar dan sentiasa membuat pertimbangan yang sebaiknya semasa ingin keluar dari rumah kerana penularan wabak COVID-19 masih berlaku dan berterusan.

Beliau turut menasihatkan supaya hanya mereka yang benar-benar perlu keluar sama ada untuk bekerja di sektor yang telah dibenarkan, membeli barang keperluan, mendapatkan rawatan kesihatan selain mempunyai kaitan dengan kebenaran kerajaan boleh bergerak untuk menjalankan aktiviti harian mereka.

“Keputusan yang dibuat kerajaan ini bukanlah satu jaminan bahawa penyakit ini sudah berjaya diatasi, namun kerajaan memberikan kelonggaran adalah disebabkan atas kepentingan ekonomi jadi orang ramai perlu bersabar dan tidak tergopoh-gapah,” katanya kepada Bernama malam tadi.

Abdul Hamid berkata orang ramai disaran tidak mengambil kesempatan menggunakan peluang ini untuk keluar beramai-ramai tanpa tujuan, semata-mata untuk berada di luar rumah.

Beliau berkata kerajaan sebenarnya akan melonggarkan lagi syarat yang ada dalam PKP pada masa akan datang supaya orang ramai boleh keluar untuk melakukan aktiviti riadah.

“Itu memang sudah ada dalam perancangan kerajaan tetapi masih belum diputuskan bila masa yang sesuai, namun harus dipastikan keadaan benar-benar selamat dan jarakan sosial sentiasa diamalkan.

“Justeru saya sekali lagi menegaskan, jangan pula pada hari Isnin ini, keadaan menjadi kelam-kabut, kesesakan panjang berlaku dan orang ramai keluar sehingga keadaan menjadi tidak tentu arah,” katanya.

Abdul Hamid berkata orang ramai perlu mengikuti saranan kerajaan dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) bagi memastikan negara berjaya mengatasi penularan COVID-19.

Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin, dalam perutusan khas sempena Hari Pekerja hari ini, berkata sebahagian besar aktiviti ekonomi dan sosial dibenarkan beroperasi mulai 4 Mei tertakluk kepada syarat dan prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan.

Antaranya, restoran dibenarkan beroperasi dengan syarat mematuhi SOP perniagaan, aktiviti sukan luar seperti bermain badminton atau tenis di luar tanpa penonton, jogging, kayuhan basikal, golf dan larian tidak melebihi 10 orang dibenarkan dengan syarat mengamalkan penjarakan sosial.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");