Berita Hari Ini

PKPB Boleh Batal Jika Peladang, Pekebun Tak Patuhi SOP

KUALA LUMPUR – Kelonggaran yang diberikan kepada sektor agrikomoditi sepanjang tempoh perintah kawalan pergerakan bersyarat (PKPB) boleh dibatalkan dan ditarik balik sekiranya syarat yang ditetapkan tidak dipatuhi pemilik ladang/pekebun kecil dan pengilang.

Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi (MPIC) dalam senarai soalan lazim (FAQ) berkaitan PKPB berkata semua sektor agrikomoditi dibenarkan beroperasi bermula 4 Mei 2020 tertakluk kepada syarat-syarat dan Prosedur Operasi Standard (SOP) yang ditetapkan pihak berkuasa.

Subsektor yang terlibat dengan kelonggaran adalah industri sawit, getah, kayu-kayan, koko, lada, kenaf dan biodiesel.

“Prosedur pencegahan yang perlu diambil bagi kilang pemprosesan agrikomoditi (sawit, getah, kayu dan perabot, koko, lada, kenaf dan biodiesel) adalah pencegahan penyakit dan sekatan, saringan kesihatan dan memberi laporan kesihatan (di premis dan penginapan pekerja).

“Majikan perlu menyediakan protokol di tempat kerja yang meliputi pengawasan penyakit dan pencegahan penyebaran jangkitan mengikut standard yang ditetapkan Kementerian Kesihatan Malaysia,” kata kementerian itu.

Majikan perlu menyediakan alat saringan suhu badan (thermal scanner), melaksanakan saringan bagi mengesan gejala berkaitan COVID-19 seperti demam, batuk, sakit tekak atau sesak nafas setiap hari dan saringan perlu dilakukan setiap hari di pintu masuk kilang atau premis.

Selain daripada itu, mereka juga perlu melaporkan kepada pejabat kesihatan yang berdekatan sekiranya berlaku jumlah ketidakhadiran pekerja melebihi lima paratus daripada jumlah bilangan pekerja kerana demam atau bergejala.

Pekerja yang mempunyai suhu badan 37.5° celcius ke atas atau menunjukkan sebarang gejala hendaklah dirujuk ke klinik panel syarikat atau klinik kesihatan yang berdekatan dan juga tidak dibenarkan memasuki premis syarikat.

Majikan yang mempunyai sebarang pertanyaan boleh menghubungi Unit Komunikasi Korporat, Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi (UKK, MPIC) di talian yang disediakan di 03-8880 3321 / 03-8880 3325 dari jam 8 pagi hingga 5 petang. – Bernama

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");