Berita Hari Ini

PKPB: Jangan Buat Pembelian Panik Isnin Ini

KUANTAN – Orang ramai dinasihatkan tidak membuat pembelian panik barangan keperluan harian susulan kelonggaran Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) yang berkuat kuasa Isnin ini.

Timbalan Menteri Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), Datuk Rasol Wahid berkata, pemantauan mendapati barangan kawalan seperti gula, minyak masak dan tepung gandum juga mencukupi serta boleh menampung keperluan makanan sehingga sembilan bulan.

“Kita ramal ada pembelian panik Isnin ini kerana rakyat sudah mendapat gaji dan bantuan daripada kerajaan.

“Jadi rakyat diminta untuk tidak berbuat demikian sebaliknya berbelanja sekadar perlu sahaja. PKPB juga memberi kelonggaran untuk mereka bergerak,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas menjalankan tinjauan bekalan makanan keperluan asas sepanjang bulan Ramadan semasa musim Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) fasa empat di pusat Pemborong Golden Hp Agency Sdn Bhd di Indera Mahkota hari ini.

Hadir sama, Timbalan Ketua Setiausaha (Pendayaupayaan Pengguna) KPNDNEP, Mohamed Zahari Razali, Timbalan Pengarah Penguatkuasaan KPDNHEP, Azman Adam dan Ketua pegawai Penguatkuasaan KPDNHEP Pahang, Ahmad Fitri Ali.

Dalam pada itu memetik Sinar Harian, Rasol berkata, tindakan tegas akan diambil jika terdapat peniaga yang menyembunyikan bekalan makanan untuk kenaikan harga.

Katanya, peniaga yang didapati berbuat demikian boleh dikenakan tindakan di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961.

Sehubungan itu, beliau meminta agar rakyat membuat aduan terus kepada KPNDNEP sekiranya berlaku kenaikan harga barangan.

“Kalau ada kenaikan harga mendadak, rakyat boleh membuat aduan bagi membolehkan tindakan diambil terhadap peniaga,” katanya.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");