Perak Hari Ini

PKPB: Perak Larang Makan Di Premis

IPOH: Perak akan menerima pakai Prosedur Operasi Standard (SOP) Pembukaan Ekonomi seperti yang diumumkan Kerajaan Persekutuan pada Jumaat.

Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Ahmad Suadi Abdul Rahim berkata walau bagaimanapun, Perak telah menetapkan beberapa kawalan khususnya berkaitan sektor makanan, serta sukan dan rekreasi.

Jelasnya bagi sektor makanan, sebarang aktiviti makan di premis atau ‘dine in’ tidak dibenarkan kecuali bagi tujuan bungkus dan penghantaran.

Katanya lagi selain dibenarkan beroperasi, larangan tersebut terpakai kepada semua restoran, warung, medan selera, gerai makan tepi jalan, kenderaan saji, penjaja beredar dan penjaja tepi jalan.

Selain itu ujar beliau pasar segar terkawal tanpa premis seperti pasar pagi tidak dibenarkan beroperasi.

“Aktiviti riadah di taman-taman rekreasi awam di seluruh negeri masih belum dibenarkan dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) Fasa Keempat ini.

“Bagi memastikan penyampaian perkhidmatan awam di Perak berada dalam keadaan baik dan efektif, pejabat-pejabat kerajaan di negeri ini akan beroperasi mulai 4 Mei ini,” katanya dalam satu sidang media di sini, hari ini.

Terdahulu kata beliau, Mesyuarat Jawatankuasa Kerja Keselamatan Negeri Khas yang dipengerusikan Menteri Besar Perak hari ini telah meneliti kesemua sektor yang dibenarkan untuk beroperasi semula berdasarkan SOP.

Dalam pada itu, Ahmad Suadi berkata kerajaan negeri menyambut baik pengumuman Kerajaan Persekutuan bagi membuka semua ekonomi di negara ini dengan membenarkan industri dan aktiviti perniagaan beroperasi secara menyeluruh.

Walau bagaimanapun katanya penguatkuasaan Akta 342 masih diteruskan yang mana pergerakan orang ramai masih tertakluk dalam tempoh 8 pagi sehingga 8 malam.

“Walaupun data di Perak menunjukkan tiada kes baharu didaftarkan untuk tempoh 15 hari berturut-turut, namun terdapat 15 mukim dan sub mukim yang masih belum bebas daripada kes dalam tempoh 28 hari atau dua tempoh inkubasi,” jelasnya.

Tambahnya beliau lagi, orang ramai diseru untuk terus berdisiplin antaranya dengan mengamalkan penjarakan sosial, kerap membasuh tangan, menggunakan cecair pembasmi kuman serta mengelakkan daripada menyentuh muka dengan tangan yang tidak bersih.

Pada masa sama, beliau turut menzahirkan ucapan takziah kepada keluarga Allahyarham Koperal Safwan Muhammad Ismail yang disahkan meninggal dunia awal pagi tadi, selepas dirempuh sebuah kenderaan ketika bertugas menjaga kawalan sekatan jalan raya (SJR) di Kajang.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");