Berita Hari Ini

PM bertemu PN Johor, ketua Bersatu negeri kata masalah ‘selesai’

Perdana Menteri Muhyiddin Yassin hari ini bertemu pemimpin-pemimpin Perikatan Nasional (PN) Johor di Putrajaya.

Menurut Pengerusi Bersatu Johor, Mazlan Bujang masalah yang wujud antara parti itu dan Umno telah berjaya diselesaikan.

“Semua dah selesai sekarang,” katanya kepada Malaysiakini.

Menurut sumber, selain Mazlan, mereka yang berada dalam pertemuan itu termasuklah Menteri Besar Johor, Hasni Mohammad serta pendahulunya Osman Sapian dan Sahruddin Jamal.

Menurut Mazlan dan sumber, dalam pertemuan itu perselisihan mengenai isu pelantikan politik di negeri ini telah diperhalusi.

Bersatu sebelum ini menuduh Umno meminggirkan mereka berhubung pelantikan jawatan dalam syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan majlis tempatan.

Mazlan berkata, beberapa perkara seperti isu pelantikan ahli majlis merupakan salah faham kerana ahli majlis dari Bersatu tetap dikekalkan apabila PN mengambil alih kerajaan negeri daripada Pakatan Harapan (PH).

“Hanya apabila ahli majlis dari Umno pun angkat sumpah, sesetengah orang buat cerita,” katanya.

Difahamkan Bersatu meminta 40 peratus kerusi majlis tempatan dan perkara itu akan dipenuhi.

Malaysiakini telah menghubungi Hasni untuk mendapatkan respons daripada Umno sendiri.

Sementara itu, satu sumber daripada Bersatu berkata, menteri besar mesti mencari penyelesaian menang-menang bagi mengekalkan kestabilan.

Sumber itu menambah, rasa tidak puas hati terhadap situasi politik di Johor itu berpunca daripada akar umbi dan bukanlah agenda pemimpin-pemimpin tertentu.

Ditanya sama ada perkara itu boleh diselesaikan menjelang persidangan Dewan Undangan Negeri pada 14 Mei ini, Mazlan berkata ia bukan “isu besar”.

Ketegangan antara Bersatu dan Umno di Johor mengancam kestabilan politik di negeri itu sehingga timbul cakap-cakap akan berlakunya pilihan raya negeri.

PN memiliki hanya 29 kerusi DUN di Johor berbanding 27 daripada PH. Sekiranya ada Adun PH melompat parti, ini akan menyebabkan DUN tergantung.

Selain ketegangan antara parti, terdapat juga perselisihan dalam Bersatu sendiri antara mereka yang menyokong Muhyiddin serta kumpulan yang menyokong Dr Mahathir Mohamad dan PH.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");