Berita Hari Ini

Polis KL Tubuh 142 Pasukan Pematuhan PKPB

KUALA LUMPUR – Polis Kuala Lumpur menubuhkan sebanyak 142 pasukan pematuhan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) terdiri daripada 926 pegawai dan anggota yang ditugaskan membuat pemantauan di Kuala Lumpur dan Putrajaya.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Seri Mazlan Lazim berkata, pasukan itu bagi membantu Kementerian Kesihatan (KKM) membendung penularan Covid-19.

“Orang ramai diminta untuk memberikan kerjasama kepada pihak polis sepanjang PKPB ini bagi memastikan rantaian jangkitan Covid-19 ini berjaya kita putuskan bersama,” katanya melalui kenyataan media semalam.

Mazlan berkata, dalam tempoh PKPB ini, hampir semua sektor ekonomi dan aktiviti perniagaan dibenarkan beroperasi tertakluk kepada syarat-syarat dan prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan oleh pihak berkuasa.

“SOP ini termasuklah penjarakan sosial, kerap mencuci tangan, memakai penutup hidung dan mulut, melaporkan segera kepada Jabatan Kesihatan jika terdapat maklumat mengenai jangkitan Covid-19,” katanya.

Beliau berkata, sepanjang tempoh PKPB, terdapat 13 aktiviti yang dilarang seperti yang termaktub dalam Warta Kerajaan Persekutuan Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah Langkah di dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) (No. 5) 2020.

“Antara aktiviti itu adalah hiburan, riadah, rekreasi, keagamaan, kebudayaan, kesenian dan perniagaan yang boleh menyebabkan ramai orang berhimpun, berlaku sentuhan badan dan sukar mengawal penjarakan sosial,” katanya.

Beliau menasihati orang ramai supaya mematuhi larangan dan SOP PKPB ini demi keselamatan dan kesihatan diri masing-masing serta keluarga.

“Orang ramai yang mempunyai sebarang pertanyaan berhubung perkara ini boleh menghubungi Hotline Polis Kuala Lumpur di talian 03-2115 9999 atau mana-mana balai polis yang berdekatan,” katanya.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");