Perak Hari Ini
Like

Polis Tembak 3 Das Pada Kereta Rempuh, Elak Sekatan Jalan Raya Gopeng-Tapah

May 27, 2020
553 Views
0 Comments
3 minutes read
Polis Tembak 3 Das Pada Kereta Rempuh, Elak Sekatan Jalan Raya Gopeng-Tapah

IPOH: Polis melepaskan tiga das tembakan terhadap sebuah kereta yang lari daripada sekatan jalan raya Ops Tutup di hadapan Balai Polis Chenderiang dekat Tapah, pagi tadi.

Dalam kejadian sekitar jam 10.30 pagi itu, kereta jenis Toyota Avanza telah ditahan akibat menggunakan telefon bimbit sambil menandu di Jalan Sultan Nazrin Shah, di sini, sebelum ia terus dipandu laju.

Kenderaan yang dipandu secara berbahaya oleh lelaki berusia 26 tahun itu kemudian merempuh sekatan jalan raya berhadapan RTC Gopeng sebelum memecut laju menuju ke Kampar.

Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner A Asmadi Abd Aziz berkata sekatan dan halangan yang dibuat di Kampar turut gagal memberhentikan kenderaan itu yang seterusnya dipandu menghala ke Chenderiang.

Katanya tiga das tembakan yang dilepaskan mengenai bahagian tayar kanan pada awalnya juga gagal membuatkan kereta yang disewa itu berhenti.

Namun ujarnya kejadian yang berlaku sekitar 40 minit itu berakhir apabila kereta yang turut membawa dua penumpang lain itu terbabas mengena tiang sebuah rumah di Jalan Chenderiang Lama.

“Hasil maklumat daripada pemandu, dia mengatakan punca mereka melarikan diri ialah selepas dia diugut dengan menggunakan pisau oleh rakannya untuk tidak berhenti daripada diperiksa pihak polis.

“Maklumat awal juga kita mendapati bahawa mereka turut membawa dadah berupa syabu dalam kenderaan tersebut.

“Walau bagaimanapun dipercayai dadah itu telah dicampak keluar kenderaan semasa dikejar pihak polis,” katanya dalam satu sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah Ipoh, di sini, hari ini.

Tambahnya hasil ujian air kencing terhadap ketiga-tiga suspek adalah positif dadah jenis methamphetamine selain Unit Pengesan Anjing (K9) turut dikerah bagi mencari saki-baki kemungkinan wujud barangan lain berkenaan kes ini.

Jelasnya lagi kesemua suspek yang berusia lingkungan umur 21 ke 26 yang beralamat Tapah dan Kampar itu datang ke Ipoh semalam bagi tujuan bersiar-siar.

“Ketiga-tiga suspek mempunyai rekod jenayah lampau antaranya melibatkan kes dadah, sengaja menyebabkan cedera, dan curi kenderaan.

“Suspek ketiga berusia 23 tahun yang juga merupakan seorang penganggur turut mempunyai rekod lampau berkaitan jenayah seksual kanak-kanak.

“Kita mempercayai suspek ketiga ini mungkin merupakan individu yang mengugut pemandu untuk meneruskan pemanduan sehingga sejauh 40 kilometer itu,” katanya.

Ujar A Asmadi kes disiasat di bawah Seksyen 307 Kanun Keseksaan kerana cubaan membunuh, serta Seksyen 26(1), Seksyen 42 dan Seksyen 43 Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

Turut disiasat di bawah Seksyen 26(1) Akta Polis 1967 kerana tidak berhenti di sekatan jalan raya.

“Siasatan berhubung kes ini masih berjalan dan permohonan reman terhadap kesemua suspek akan dibuat esok,” katanya.

Komen & Pendapat

Comments are closed.