Berita Hari Ini

Polis tumpaskan sindiket dadah WeChat

Kegiatan licik satu sindiket pengedaran dadah menggunakan aplikasi WeChat untuk mencari pelanggan di sekitar bandar raya ini akhirnya tumpas dengan penahanan 32 individu sejak Selasa lepas sehingga semalam.

Ketua Polis Johor Ayob Khan Mydin Pitchay berkata penahanan individu berusia antara 16 hingga 39 tahun itu dilakukan menerusi 12 serbuan di sekitar Johor Bahru, Seri Alam dan Iskandar Puteri.

“Serbuan pertama dibuat pada 5 Mei di Johor Bahru dan berjaya menahan dua suspek bersama sejumlah rampasan dadah.

“Susulan penangkapan tersebut, polis telah melancarkan 11 serbuan berasingan di sekitar Johor Bahru, Seri Alam dan Iskandar Puteri dan berhasil menahan seramai 26 suspek warga tempatan serta empat suspek warganegara asing,” katanya kepada pemberita di Johor Bahru, hari ini.

Hasil tangkapan itu, polis turut merampas dadah bernilai RM454,215 dan menyita pelbagai barangan kemas, kenderaan dan wang tunai berjumlah RM1.1 juta.

Beliau berkata sindiket itu dipercayai aktif sejak tiga bulan lalu dan menggunakan WeChat bagi mengaburi mata pihak berkuasa agar sukar mengesan maklumat peribadi pengguna aplikasi itu.

“Siasatan juga mendapati sindiket tersebut mempunyai ‘group’ WeChat yang mempunyai kira-kira 500 ahli.

“Kita tidak menolak antara pelanggan sindiket tersebut adalah mungkin golongan muda termasuk pelajar memandangkan aplikasi itu digunakan secara meluas oleh semua lapisan umur,” katanya.

Ayob Khan berkata selain penahanan ahli sindiket itu, pihaknya juga turut memberkas lapan lagi individu dalam lima serbuan berasingan di Muar kerana dipercayai terlibat dengan sindiket pengedaran dadah ke negara jiran.

“Tangkapan pertama dibuat 5 Mei melibatkan sepasang suami isteri, disusuli empat serbuan yang berhasil menahan enam suspek termasuk seorang warganegara asing.

“Nilai rampasan dadah dalam kes ini berjumlah RM21,045 dan barangan sitaan berjumlah RM364,380. Kesemua suspek yang berusia antara 24 hingga 54 tahun kini dikenakan reman selama tujuh hari,” katanya.

Kes disiasat mengikut Seksyen 39B dan Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 serta Akta Imigresen 1959/63.

– Bernama

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");