Perak Hari Ini

Portfolio Tiga Exco Baru Akan Dibincangkan – MB Perak

IPOH: Menteri Besar Perak, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu tidak menolak kemungkinan akan ada rombakan portfolio tujuh anggota Ahli Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) Perak susulan pelantikan tiga lagi Exco baharu.

Jelasnya, berkaitan portfolio Exco-Exco baharu itu akan dibincangkan dalam masa terdekat.

“Saya akan berjumpa dengan mereka dan akan berbincang tentang perkara portfolio itu. Kami mengamalkan konsep perbincangan bersama.

“Pastinya dalam perkara ini saya akan turut mendapatkan pandangan daripada Datuk Saarani Mohamad serta Razman Zakaria,” katanya dalam satu sidang media selepas penyempurnaan Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) di Bangunan Perak Darul Ridzuan, dekat sini, hari ini.

Pagi tadi, Sultan Perak, Sultan Nazri Muizzuddin Shah telah memperkenankan agar Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lintang, Datuk Zolkafly Harun; ADUN Bota, Khairul Shahril Mohamed dan ADUN Changkat Jering, Ahmad Saidi Mohamad Daud masing-masing dilantik sebagai Exco Kerajaan Negeri.

Lantikan tersebut yang terdiri daripada tiga orang ADUN Umno itu sekali gus melengkapkan 10 Exco Perak yang telah dilantik.

Dalam persidangan sama, ia turut menyaksikan Mantan Exco Perak, Datuk Mohammad Zahir Abdul Khalid dilantik menjadi Speaker DUN Perak yang baru menggantikan Datuk Ngeh Koo Ham.

Mengulas lanjut, Ahmad Faizal yang juga ADUN Chenderiang berkata beliau telah menggunakan Perkara 13 (2) Perintah Tetap DUN Perak bagi mempercepatkan aturan mesyuarat berkenaan pengosongan kerusi Speaker.

Kata beliau perkara tersebut yang diusulkan kepada Setiausaha DUN Perak pada 4 Mei lalu sebagai memberi laluan pelantikan Speaker yang baharu

Tambahnya walaupun berlaku sedikit kekecohan antara ADUN kerajaan dan pembangkang semasa persidangan pagi tadi, namun akhirnya usul itu dipersetujui setelah ia mendapat sokongan daripada 32 Adun Kerajaan dan tiga bebas.

“Kita dimaklumkan bahawa mantan Speaker telah menerima beberapa usul dan beliau sendiri mengakui usul-usul itu tidak dimaklumkan kepada Setiausaha DUN.

“Perkara ini tidak mengikut peraturan yang mana sepatutnya setiap usul itu perlu melalui Pejabat Setiausaha DUN sebelum ia dibawa ke DUN.

“Kita ada peraturan dam jika seorang Speaker tidak mematuhi peraturan, ia membolehkan berlakunya salah guna kuasa dengan menerima berbagai-bagai usul.

“Apabila ia berlaku, bagaimana pihak pentadbiran atau Setiausaha DUN dapat menyediakan aturan mesyuarat mengikut masa dan sebagainya, kerana pihaknya tidak dimaklumkan terlebih dahulu,” jelasnya.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");