Berita Hari Ini

Pos Malaysia Jaga Kebajikan Pekerja – UPUS

KUALA LUMPUR – Kesatuan Pekerja-Pekerja Pakaian Seragam Pos Malaysia Berhad Semenanjung Malaysia (UPUS) kesal kerana ada pihak-pihak tertentu yang cuba memberi maklumat palsu dan melakukan penipuan yang menjejaskan nama baik para pekerjanya.

Presidennya, Ismail Ali berkata, UPUS memandang serius terhadap tuduhan serta tohmahan yang telah tular baru-baru ini, mengenai seorang pekerja seragam Pos Malaysia yang berada di dalam keadaan kesusahan serta kebajikan yang terabai disebabkan bonus tidak diberikan.

“Siasatan telah dijalankan dan wakil kami di peringkat negeri dan cawangan telah dirujuk mengenai perkara tersebut. Kami telah mendapati tiada posmen atau pekerja Pos Malaysia yang mengalami kesusahan seperti yang digembar-gemburkan.

“Cerita yang ditularkan itu adalah palsu dan direka oleh individu yang mempunyai kepentingan peribadi dan bertujuan untuk menipu masyarakat,” katanya dalam satu kenyataan di sini.

Menurutnya, UPUS telah membuat laporan polis terhadap perkara ini kerana ia telah mencemarkan imej UPUS, Pos Malaysia dan ahli-ahli kesatuan.

“Kami telah memohon kerjasama pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk menjalankan siasatan penuh terhadap kes penipuan dalam talian sedemikian,” ujarnya.

Ismail berkata, UPUS menghargai usaha Pos Malaysia dalam menjaga hubungan bersama kesatuan-kesatuan dan kebajikan para pekerja.

Malah, katanya, UPUS berpuas hati dengan apa yang telah disediakan setakat ini dan akan berganding bahu bersama syarikat dalam merealisasikan rancangan transformasi dan memajukan prestasi syarikat, bagi mencapai hasil kejayaan yang dapat dinikmati oleh semua.

Tambahnya, prestasi perniagaan Pos Malaysia terutama kurier meningkat dan ini adalah satu kemajuan yang baik.

UPUS berharap prestasi baik ini dapat menjana pendapatan yang menepati prestasi yang memungkinkan pembayaran bonus atau imbuhan sagu hati kepada pekerja-pekerja pada tahun hadapan.

Semalam, Pos Malaysia mengesahkan PDRM telah menahan seorang suspek berhubung penipuan kutipan derma di Facebook.

Ia susulan hantaran di media sosial oleh Masakan Utara Barat yang viral seorang pekerja Pos Malaysia dikatakan menangis di luar sebuah rumah selepas menyampaikan bungkusan.

Pos Malaysia turut menasihatkan orang ramai agar berhati-hati tentang penipuan kutipan derma di Facebook dan mengelak membuat hantaran bersifat memfitnah. – MalaysiaGazette

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");