Berita Hari Ini

Raikan Aidilfitri Ikut Kebiasaan Baharu

KUALA LUMPUR – Budaya saling berkunjung sudah menjadi amalan dalam masyarakat Islam pada sambutan Aidilfitri sepanjang bulan Syawal, bertepatan dengan konsep rumah terbuka dan menerima kunjungan tetamu.

Bagaimanapun, tahun ini, tradisi tersebut terpaksa dikorbankan dengan kebiasaan baharu susulan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) bagi membendung penularan wabak COVID-19.

Ini termasuk amalan balik kampung di musim perayaan terpaksa dilupakan kerana sekatan pergerakan rentas negeri selain budaya kunjung mengunjung hanya dibenarkan pada hari pertama sahaja dan ia terhad kepada 20 orang ahli keluarga terdekat.

Selain itu, amalan menziarahi kubur juga perlu dielakkan dan bilangan jemaah bagi solat sunat Aidilfitri dihadkan di masjid.

Menteri Kanan (Kluster Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, berkata kerjasama orang ramai dalam mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ketika menyambut 1 Syawal amat diperlukan dalam usaha memutuskan rantaian jangkitan COVID-19 di negara ini.

Namun, kesedaran masyarakat dalam memutuskan rantaian penularan COVID-19 masih utuh, apabila kaji selidik Majlis Keselamatan Negara (MKN) pada 18 Mei lepas menunjukkan sebanyak 74 peratus daripada 215,712 respondennya memilih untuk tidak menerima tetamu sepanjang sambutan Aidilfitri.

Malah, sebanyak 20 peratus sahaja memilih untuk membenarkan Aidilfitri disambut dengan saudara-mara terdekat bukan daripada kediaman sama manakala hanya enam peratus memilih untuk menyambut bersama saudara-mara jauh serta jiran tetangga.

Meskipun kajian itu menunjukkan rakyat memilih untuk menyambut Aidilfitri dengan cara selamat, ia tidak bermakna sebahagian kecil yang sudi menerima tetamu berkunjung ke rumah boleh sewenang-wenangnya berjalan ke sana ke sini tanpa mengira batasan.

Orang ramai juga diingatkan dalam keterujaaan menyambut 1 Syawal, jangan melangkau batasan sehingga pihak berkuasa berkunjung ke rumah anda kerana didapati melanggar SOP.

Ini berikutan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) akan terus membuat rondaan tanpa mengira waktu dalam musim tersebut dan jika didapati banyak kenderaan di luar rumah, mereka akan memeriksa kediaman berkaitan daripada segi jumlah orang yang berada di dalamnya.

Seperti yang dimaklumkan oleh pelbagai pihak sebelum ini, raikanlah Hari Raya pada tahun ini dengan cara yang tertutup di rumah masing-masing dengan ahli keluarga dalam rumah yang sama sahaja.

-Bernama

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");