Perak Hari Ini

Rumah Ketua Balai Kampung Rapat Terbakar, Persiapan Raya Musnah

IPOH: Keterujaan menyambut Hari Raya Aidilfitri yang berbaki kira-kira seminggu lagi terpaksa dilupakan buat keluarga Ketua Polis Balai Kampung Rapat, Inspektor Zulhamali Zakaria apabila rumah yang diduduki kurang lima bulan terbakar dan memusnahkan bahagian atas pada kelmarin.

Katanya kejadian kebakaran yang berlaku dalam dua kali dalam tempoh beberapa jam itu turut memusnahkan kesemua kelengkapan perayaan beliau enam beranak.

“Persiapan kelengkapan baju raya kami sekeluarga semuanya musnah. Baju isteri saya yang baru dibeli atas talian turut musnah.

“Bukan sahaja itu, malah dokumen, pakaian harian serta uniform saya dan isteri yang bekerja di hospital juga musnah,” katanya ketika ditemui di kediamannya, di sini, hari ini.

Katanya lagi kejadian itu turut memusnahkan kesemua barangan elektrik dan perabot yang jumlah kerugian dianggarkan RM100,000.

Tambah beliau kini dia isteri serta empat anak masing-masing berumur antara 4 ke 16 tahun itu terpaksa tinggal di hotel berhampiran buat sementara waktu.

“Pada ketika ini saya hari mencari rumah baharu dahulu dan ia masih lagi dalam proses. Kini kami terpaksa tinggal di hotel berhampiran.

“Untuk hari raya memang tiada perancangan. Sekiranya terpaksa, mungkin kami tinggal di hotel ketika hari raya ini.

“Selain rumah sewa baharu, saya juga harus mencari pakaian baharu untuk kami sekeluarga memandangkan kami kini tinggal sehelai sepinggang,” ujarnya.

Menceritakan detik kebakaran itu, Zulhamali berkata kejadian pertama berlaku selepas waktu berbuka puasa ketika isterinya ke bilik utama di tingkat atas bagi menghidupkan penghawa dingin dan bersolat Maghrib.

Selepas isterinya turun ke bawah, katanya rumah tiba-tiba menjadi gelap sebelum anak sulungnya, Muhammd Shakir Zufayri, 16, ternampak api di ruang bilik utama.

Walau bagaimanapun ujarnya beliau sempat menghubungi bomba bagi memadam kebakaran.

“Kejadian kebakaran kedua berlaku sekitar jam 5 pagi. Kebakaran itu disedari jiran dan kemudiannya menghubungi saya. Kebakaran kali ini lebih teruk. Kami tidak menyelamatkan apa-apa barangan penting,” katanya.

Terdahulu, Timbalan Ketua Polis Daerah Ipoh, Superintenden Mohamad Nordin Abdullah hadir menyampaikan sumbangan berupa wang tunai berjumlah anggaran RM2,000 kepada Zulhamali.

Katanya sumbangan daripada Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ipoh kepada Zulhamali yang telah berkhidmat sekitar dua tahun itu akan berterusan.

“Sumbangan ini diharap dapat meringankan sedikit beban beliau sekeluarga. Kita juga memberikan kata-kata semangat kepada beliau supaya tabah menghadapi bencana ini.

“Selain itu kita juga berharap akan ada pihak lagi seperti organisasi bukan kerajaan (NGO) untuk turut tampil memberi sumbangan kepada Zulhamali,” katanya.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");