Panasnya Hari Ini

Saman Lucut Hak 1MDB: Mahkamah Benarkan Kerajaan Rampas RM600,000 Dari Riza

KUALA LUMPUR: Sebagai sebahagian daripada penyelesaian yang dicapai dalam kes pengubahan wang haram Riza Aziz, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini memberi kebenaran untuk kerajaan melucut hak kira-kira RM600,000 daripada anak tiri bekas perdana menteri Najib Razak itu.

Hakim Mohamed Zaini Mazlan membenarkan kerajaan menyita wang tunai dalam pelbagai mata wang yang sebelum ini dirampas di rumah Riza, ibunya Rosmah Mansor, dan Najib.

Keputusan hari ini berkaitan saman pelucutkahakan 1MDB bernilai RM31 juta terhadap Riza dan 17 lagi defendan. Antara defendan lain adalah Najib dan Rosmah.

Keputusan itu membenarkan kerajaan melucut hak RM537,000, Pound Sterling 2,700 dan Rupee Sri Lanka 2,870,000 yang dirampas dalam serbuan di kediaman Najib di Jalan Langgak Duta, Kuala Lumpur pada 17 Mei 2018.

Ketika prosiding hari ini, timbalan pendakwa raya Faten Hadni Khairuddin memberitahu Zaini bahawa susulan penyelesaian melepaskan tanpa membebaskan (DNAA) yang dicapai minggu lalu, Riza setuju untuk kerajaan melucut wang yang dikaitkan dengannya di Malaysia dan Amerika Syarikat.

“Responden ketiga Riza Shahriz Abdul Aziz baru-baru ini diberikan DNAA dalam pertuduhan Amla (Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan), susulan persetujuan dengan pendakwaan agar aset di Malaysia dan Amerika Syarikat dilucut hak.

“Antara harta itu adalah Item 3 (iaitu wang tunai dalam tiga mata wang) dalam notis usul.

“Harta ini disita. Atas persetujuan (DNAA), pendakwaan memohon untuk merekodkan beberapa perkara kepada mahkamah berkenaan harta yang dilucut hak,” kata Faten.

Peguam Syahirah Hanapiah dan Azrul Zulkifli Stork, yang masing-masing mewakili Najib serta Rosmah dan Riza, mengesahkan mereka tidak membantah keputusan itu lapor MalaysiaKini.

Rumah Najib di Langgak Duta

Pada 14 Mei lalu, Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur berkata persetujuan itu dicapai antara pihak Riza dan pendakwaan dalam lima pertuduhan pengubahan wang haram.

Dalam persetujuan itu, Riza dilepas tanpa dibebaskan atas pertuduhan itu dengan syarat memulangkan semula aset dari luar negara dengan nilai anggaran AS$107.3 juta (RM465.3 juta)

Sementara itu, ketika prosiding hari ini, Zaini menetapkan 24 Ogos ini bagi pendengaran terhadap saman utama terhadap Riza dan 17 respoden.

Mahkamah juga dimaklumkan oleh pihak pendakwaan bahawa responden ke-6, ke-9, ke-10, ke-11 dan ke-12 tidak hadir ke prosiding walaupun dokumen mahkamah telah diserahkan kepada mereka.

Responden tersebut adalah Mohd Kyizzad Mesran, Yayasan Rakyat 1Malaysia, Yayasan Semesta, Yayasan Mustika Kasih, dan Rembulan Kembara Sdn Bhd.

Dalam saman pelucuthakan yang difailkan Mei tahun lalu, 18 individu dan syarikat dinamakan dan ratusan barangan, termasuk beg tangan berjenama dan 27 kenderaan dirampas daripada tertuduh.

Najib dinamakan sebagai responden pertama, diikuti dengan Rosmah, Riza, Nor Ashman dan Nooryana Najwa, sebagai responden kedua, ketiga, keempat dan kelima.

Responden lain ialah Kyizzad, Senijauhar Sdn Bhd, Aiman Ruslan, Yayasan Rakyat 1Malaysia, Yayasan Semesta, Yayasan Mustika Kasih, Rembulan Kembara, Goh Gaik Ewe (ibu kepada Low Taek Jho), bekas pegawai Goldman Sachs Roger Ng, isterinya Lim Hwee Bin, Kee Kok Thiam, Tan Vern Tact dan Geh Choh Hun.

Kee, Tan dan Geh didakwa sebagai sekutu kepada Low Taek Jho.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");