Perak Hari Ini

Semangat Dan Komitmen Guru Mendidik Murid Semasa PKP Amat Dihargai – MB Perak

IPOH: Menteri Besar Perak, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu menzahirkan penghargaan kepada para guru yang tetap menjalankan tanggungjawab dalam mendidik murid-murid dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Katanya beliau sebagai seorang bapa turut tersentuh dengan usaha para guru dalam mengekalkan perhubungan dengan anak murid masing-masing dalam sepanjang tempoh PKP ini.

“Kita sedar betapa para guru merindui anak-anak murid sejak sekolah ditutup susulan pelaksanaan PKP bermula 18 Mac lalu.

“Sebagai ibu bapa kami tersentuh dan menyanjung komitmen guru-guru untuk terus mengekalkan perhubungan dengan anak murid masing-masing sepanjang PKP ini.

“Biar pun terpisah dari segi jarak tetapi guru-guru tidak pernah mengabaikan tanggungjawab mendidik anak-anak murid melalui kaedah pembelajaran atas talian dan sebagainya.

“Inilah semangat terpuji guru-guru yang sangat kita sanjung,” katanya dalam satu klip video ucapan bersempena dengan Sambutan Hari Guru Peringkat Negeri yang diadakan secara langsung di Saluran Rasmi YouTube Jabatan Pendidikan Perak, hari ini.

Selain itu, Ahmad Faizal berkata tema Sambutan Hari Guru pada tahun ini iaitu ‘Berguru Demi Ilmu, Bina Generasi Baharu’ amat bertepatan dengan situasi terkini yang mana dunia dilanda pandemik COVID-19.

Justeru katanya kaedah pembelajaran dan pengajaran secara konvensional turut perlu dilihat semula.

“Kita bersyukur kerana guru-guru kita komited untuk berubah kaedah pembelajaran demi kelangsungan pendidikan anak-anak kita.

“Sama-sama kita doakan semoga negara kita dan seluruh dunia bebas sepenuhnya daripada ancaman COVID-19.

“Saya doakan semoga urusan guru-guru dipermudahkan dan dapat kita meneruskan keseimbangan pendidikan dalam norma baharu,” katanya.

Sementara itu, Pengarah Pendidikan Negeri, Dr Mohd Suhaimi Mohamed Ali berkata warga pendidik seharusnya perlu terus menjadi insan yang mencintai ilmu selain mempunyai kemahiran abad ke-21.

“Kita boleh berguru menerusi media sosial, buku mahupun orang yang berpengalaman. Suka atau tidak kita harus mempunyai ilmu yang lebih berbanding anak-anak murid kita.

“Warga pendidik juga perlu mencintai ilmu dan melalui budaya mencintai penyelidikan ianya dapat menyelesaikan pelbagai masalah samada di sekolah, pejabat dan sebagainya.

“Tambahan pula tanpa kemahiran abad ke-21, warga pendidik akan sukar untuk bersaing dengan kumpulan lain dalam masyarakat kita,” kata beliau.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");