Berita Hari Ini

Seorang kakitangan Wisma Putra positif Covid-19

Seorang kakitangan Kementerian Luar disahkan positif Covid-19 semalam, kata menterinya Hishammuddin Hussein.

Dalam kenyataan hari ini beliau berkata, ia adalah kes pertama di kementerian itu yang dikesan menerusi saringan kesihatan yang dijalankan oleh Kementerian Kesihatan (KKM) di Wisma Putra.

“Sebelum menjalani saringan ini, beliau tidak menunjukkan sebarang gejala atau simptom Covid-19 seperti demam, selesema, batuk atau sakit tekak. Beliau kini ditempatkan di Hospital Sungai Buloh untuk mendapatkan rawatan selanjutnya,” kata Hishammuddin.

Hishammuddin berkata Wisma Putra mengenal pasti sejumlah kakitangan daripada beberapa bahagian di kementerian itu, termasuk pejabat menteri yang mempunyai kontak rapat dengan individu terbabit.

Katanya, kesemua kontak rapat itu diarah menjalani saringan kesihatan yang dikendalikan KKM hari ini.

“Selain itu, mereka juga akan menjalani kuarantin wajib di rumah selama 14 hari bermula hari ini,” katanya.

Hishammuddin berkata, susulan pengesanan kes pertama itu, kerja-kerja nyah kuman di premis Wisma Putra dengan kerjasama KKM serta Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia akan dilakukan serta-merta.

Katanya, semua langkahyang diambil adalah berpandukan prosedur operasi standard (SOP) pencegahan penularan pandemik Covid-19 seperti yang ditetapkan KKM.

“Wisma Putra juga telah dan akan terus memastikan penjarakan sosial sentiasa dipatuhi dan penjagaan kesihatan yang ketat dilaksanakan pada setiap masa,” katanya.

Hishammuddin turut mengingatkan semua kakitangan dan pelanggan kementerian agar sentiasa mematuhi SOP yang ditetapkan KKM, termasuk mengamalkan langkah pencegahan dengan memakai pelitup muka, membasuh tangan dengan sabun atau cecair pembasmi kuman, memastikan penjarakan sosial serta sentiasa memeriksa suhu badan.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");