Seramai 166 gelandangan di Kuala Lumpur sudah mendapat pekerjaan menerusi program khas sehingga Isnin lalu.
Menteri Wilayah Persekutuan, Tan Sri Annuar Musa, berkata 70 daripadanya akan bekerja di tujuh syarikat seperti McDonald’s, Jaya Grocer dan Tesco.
“Mereka akan bekerja antaranya di ladang dan kilang ayam segar Harumi Brands Sdn Bhd di Sitiawan Perak; Adabi Consumer Indutries Sdn Bhd, Tesco Stores Sdn Bhd, Trendcell Sdn Bhd (Jaya Grocer) dan Gerbang Alaf Restaurants Sdn Bhd (McDonald’s).
“Seramai 96 gelandangan akan mengikuti program khas projek pembungkusan sarung tangan oleh Top Glove Corporation Bhd di Pusat Transit Gelandangan Jalan Ampang dan Anjung Singgah,” katanya melalui kenyataan media, di sini hari ini.
Annuar berkata, program dengan kerjasama kementeriannya, Jabatan Tenaga Kerja (JTK) Kuala Lumpur dan 19 agensi lain itu membantu gelandangan mendapat pekerjaan selepas mereka dikumpulkan sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
Beliau berkata, JTK membawa majikan yang terpilih untuk menemu duga bermula 7 Mei hingga Isnin lalu.
“Majikan perlu mematuhi peratutan seperti mencarum dengan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan mendapat perlindungan di bawah Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO).
“Keutamaan juga diberikan kepada majikan yang menyediakan kemudahan penginapan,” katanya.
Sebelum ini terdapat 640 gelandangan lelaki, 79 wanita dan empat orang kanak-kanak ditempatkan di 12 pusat sementara.