Perak Hari Ini

Sultan Perak Menahan Sebak, Zahir Penghargaan Kepada Petugas Barisan Hadapan COVID-19

IPOH: Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah menzahirkan penghargaan kepada para petugas barisan hadapan khususnya kakitangan Kementerian Kesihatan (KKM) dalam menghadapi risiko wabak COVID-19.

Ketika membacakan titah pada Istiadat Pembukaan Rasmi Mesyuarat Pertama Tahun Ke-3, Dewan Undangan Negeri (DUN) Ke-14 Perak, di Bangunan Darul Ridzuan, di sini hari ini, nada Baginda sedikit serak seolah-olah menahan sebak.

Baginda kemudian menitahkan agar kesemua yang hadir supaya berdiri dan memberikan tepukan tangan yang berlangsung beberapa saat sebagai tanda apresiasi buat mereka yang berada di barisan hadapan dalam menangani ancaman COVID-19.

Terdahulu titah Baginda, walaupun prasarana perubatan sektor awam agak terbatas namun KKM berjaya membuktikan bahawa mereka mempunyai barisan petugas yang berpengalaman, berdedikasi serta komited menyempurnakan amanah masing-masing.

Titahnya lagi, dengan izin Tuhan, mereka juga berjaya dalam menyembuhkan para pesakit serta meminimumkan angka kes kematian dan jangkitan COVID-19 dalam negara.

“Beta menzahirkan ucapan terima kasih kepada semua pihak yang terlibat dalam usaha menangani wabak COVI-19.

“Antaranya warga kerja Jabatan Kesihatan, Polis Diraja Malaysia, Angkatan Tentera Malaysia, Jabatan Bomba dan Penyelamat, Angkatan Pertahanan Awam, Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA), Jabatan Kebajikan Masyarakat, Jawatankuasa Keselamatan Negeri, Pegawai Daerah, serta para penjawat awam

“Begitu juga penghargaan sama kepada Jabatan Penerangan, Jabatan Penyiaran dan badan-badan media yang berperanan penting menyampaikan maklumat serta nasihat melalui berita kepada orang ramai,” titah Sultan Perak.

Selain itu, Baginda turut menyeru agar rakyat dapat memahami tujuan sebenar perlaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) serta terus mematuhi nasihat daripada KKM.

“Pengorbanan setiap seorang daripada rakyat diperlukan untuk membolehkan negara secepat mungkin berjaya menewaskan ancaman yang sedang menyerang kehidupan warganya,” titah Sultan Nazrin.

Gambar oleh Pejabat Menteri Besar Perak

Dalam pada itu, Sultan Nazrin bertitah penularan COVID-19 telah memberi impak sosioekonomi yang besar kepada rakyat selain menjadi pengajaran yang tidak terjangka.

Titahnya, krisis yang melanda juga memberi definisi terhadap situasi jaminan bekalan makanan dalam negara.

“Pendedahan paling membuka mata ialah situasi sebenar status jaminan bekalan negara yang mana hakikatnya negara masih belum mencapai status jaminan makanan sepenuhnya.

“Keselamatan makanan wajib dijadikan agenda utama dengan program-program yang memperlihatkan komitmen politik yang tinggi,” titah Baginda.

Justeru, Sultan Perak bertitah agar sektor pertanian khususnya pengeluaran makanan perlu dibangunkan lebih produktif dengan menggunakan teknologi moden selain dibangunkan tenaga muda yang berpendidikan dengan kemahiran pertanian terkini.

Selain itu, Baginda turut mengingatkan agar dalam usaha mencegah penularan wabak tersebut, ia juga perlu diimbangkan supaya tidak mencetuskan darurat ekonomi yang sukar selepas ini.

Titah Baginda lagi, usaha memulihkan kembali aktiviti ekonomi pasca pandemik itu merupakan cabaran yang besar.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");