Berita Hari Ini

Suri Rumah Dikompaun RM1,000 Kerana Benarkan Ziarah Raya

GOMBAK: ‘Kesian tetamu dah sampai di depan rumah, takkanlah tak bagi mereka masuk’.

Itu antara alasan diberikan seorang tuan rumah ketika polis membuat pemeriksaan mengejut ke kediamannya di Taman Selayang Mutiara, Batu Caves, di sini, pada Isnin.

BH Online melaporkan, dalam pemeriksaan oleh sepasukan pegawai dan anggota daripada Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Gombak menerusi Op COVID-19 kira-kira jam 5 petang itu, kelihatan belasan tetamu berada dalam kediaman berkenaan dipercayai untuk ziarah Hari Raya.

Seorang tetamu mendakwa mendapat jemputan daripada rakannya yang juga anak kepada tuan rumah terbabit untuk datang berhari raya di kediaman berkenaan, pada Isnin.

Ditanya sama ada mengetahui arahan pihak berkuasa bahawa aktiviti ziarah hanya dibenarkan pada raya pertama, beliau yang berusia 19 tahun dan enggan dikenali, mengakui tahu mengenai arahan itu.

“Mereka jemput untuk datang hari ini, saya datanglah untuk beraya tetapi tak sangka pihak polis akan datang buat pemeriksaan di sini, hari ini,” katanya yang turut mendakwa dia baru beberapa minit sampai di rumah itu sebelum kehadiran pihak polis.

Seorang lagi tetamu yang enggan dikenali mendakwa tuan rumah menjemputnya datang ke rumah terbuka yang diadakan oleh tuan rumah terbabit dan terkejut apabila kediaman itu turut menerima ‘kunjungan’ pihak polis.

Ketua Polis Daerah Gombak, Asisten Komisioner Arifai Tarawe, berkata hasil pemeriksaan dijalankan mendapati ada 18 individu berada di dalam rumah terbabit, terdiri daripada ahli keluarga dan saudara rapat kepada tuan rumah.

Susulan itu, beliau berkata, tuan rumah terbabit yang juga seorang suri rumah berusia 50 tahun, dikenakan kompaun.

“Wanita itu dikenakan kompaun RM1,000 dan perlu menjelaskannya dalam tempoh 14 hari kerana melanggar Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

“Ketika diambil keterangan, beliau mengaku kerajaan memberikan kebenaran untuk aktiviti ziarah hanya pada hari pertama Aidilfitri,” katanya sebagaimana dilaporkan BH Online.

Tindakan membenarkan tetamu hadir pada hari raya kedua jelas melanggar arahan kerajaan yang hanya membenarkan aktiviti ziarah sempena sambutan Aidilfitri pada hari pertama, selain melanggar PKPB.

Pemeriksaan turut disertai pegawai dan anggota dari Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor menerusi Op COVID-19.

Sementara itu, Ketua JSJ Selangor, Datuk Fadzil Ahmat pada sidang medianya sebelum operasi tersebut, memaklumkan bahawa pihaknya kini mempertingkatkan pemantauan dan penguatkuasaan bagi mengesan mereka yang ingkar PKPB, dengan memfokuskan 15 kesalahan.

“Ini termasuk kesalahan merentas negeri, aktiviti berarak meliputi kunjung-mengunjung rumah ke rumah sempena Aidilfitri, dan membawa lebih daripada tiga penumpang dalam kenderaan persendirian.

“Semalam (kelmarin), dikesan banyak cubaan merentas negeri, terutama yang menggunakan lorong tikus, kita tahu semua itu dan pada hari ini (semalam), hari kedua masih terdapat keadaan yang sebegini, maka tindakan tegas akan diambil,” katanya.

Beliau berkata, semalam, pihaknya menumpukan pemantauan dan pemeriksaan di sekatan jalan raya (SJR) dan pada hari ini, tumpuan diberikan di kawasan kediaman bagi mengesan mereka yang melanggar PKPB.

“Sebanyak 18 kompaun dikenakan kepada mereka yang cuba merentas negeri dan satu kompaun untuk kesalahan lain, semalam,” katanya.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");