Berita Hari Ini

Sut PPE Baju Raya Petugas Barisan Hadapan KKM

PUTRAJAYA: Tatkala umat Islam sedang bergembira menyambut Aidilfitri bersama keluarga dengan berpakaian baharu berwarna warni, situasi berbeza pula dapat dilihat dalam kalangan petugas barisan depan Kementerian Kesihatan, termasuk di Jabatan Kecemasan dan Trauma, Hospital Putrajaya.

Jika tahun sebelum ini mereka beraya dengan berpakaian uniform kerja apabila bertugas di pagi Syawal, namun tahun ini petugas barisan depan reda menyambutnya dengan memakai sut peralatan perlindungan diri (PPE) bagi mengelak terkena jangkitan virus Covid-19.

Bagi Penolong Pegawai Perubatan di Jabatan Kecemasan dan Trauma, Hospital Putrajaya Siti Rashikin Mat Zuki, 42 biarpun ibarat memakai “sauna bergerak”, itulah antara pengorbanan yang harus mereka lakukan untuk memastikan rantaian penyakit itu dapat diputuskan.

“Tahun ini negara berdepan dengan Covid-19 dan petugas di hospital juga berdepan dengan pesakit positif Covid-19, kerana itu kami amat berharap orang ramai supaya mengamalkan penjarakan sosial dan terus kekal berada di rumah walaupun kita sedang menyambut Aidilfitri,” katanya.

Dia ditemui selepas program penyerahan pek makanan oleh Ketua Pengarah Kesihatan, Dr Noor Hisham Abdullah kepada kira-kira 400 petugas kesihatan di Hospital Putrajaya hari ini gembira kerana berpeluang bertemu dengan “jeneral perang” KKM itu.

Sementara itu, Hisham berkata sambutan Aidilfitri tahun ini amat mencabar untuk petugas barisan depan terutama bagi perkhidmatan kesihatan kerana terpaksa dirayakan dengan tahap kesiapsiagaan yang tinggi bagi menghadapi sebarang kes positif Covid-19.

Walaupun bukan perkara baru petugas kesihatan bertugas ketika Aidilfitri, tahun ini mereka memerah keringat dan tenaga yang lebih untuk memastikan rakyat terselamat daripada virus yang kini meragut 115 nyawa.

“Terima kasih kepada barisan depan dan pelbagai agensi yang lain. Yang penting orang ramai perlu patuh kepada prosedur operasi standard (SOP) yang disediakan. Kita kena jaga kita, jaga keluarga dan jaga masyarakat,” katanya selepas meluangkan masa hampir sejam bersama petugas kesihatan di hospital itu.- Bernama

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");