Perak Hari Ini

‘Tahun Ini Berhari Raya Bersama Kawan-kawan Di Sini’

SERI ISKANDAR: Perbezaan sambutan perayaan Aidilfitri pada tahun ini jelas dirasakan oleh seluruh rakyat apabila terpaksa beraya dalam suasana Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

Ia juga turut jelas dirasai oleh sebahagian penghuni di Rumah Seri Kenangan Seri Iskandar, dekat sini, terutama yang beragama Islam.

Penghuni yang mahu dikenali sebagai Cik Kalsom, 74, berkata pada kebiasaan ahli keluarganya akan datang melawat tatkala tiba bulan Syawal.

“Kebiasaannya anak saudara dan adik beradik saya datang melawat. Namun kali ini apabila PKP dilaksanakan, nampaknya tahun ini saya beraya bersama-sama kawan di sini,” katanya ketika ditemui di Rumah Seri Kenangan Seri Iskandar, dekat sini, hari ini.

Dia yang tidak mempunyai cahaya mata hasil perkahwinan dengan arwah suaminya sebelum ini ditempatkan di Rumah Seri Kenangan itu sekitar 2017.

Walau bagaimanapun penghuni yang berasal dari Baling, Kedah itu berkata dia mempunyai anak saudara yang menetap di salah sebuah daerah di negeri ini.

Sementara itu, Mak Jah, 71, berkata perayaan Aidilfitri saban tahun disambut hanya bersama penghuni lain di Rumah Seri Kenangan itu.

Katanya, dia yang kematian suami sejak beberapa tahun lalu hidup sebatang kara sebelum ditempatkan di Rumah Seri Kenangan Cheras dan seterusnya ke Seri Iskandar sejak tahun lalu.

“Duduk di sini seronok. Nak buat macam mana, jika tidak di mana lagi saya hendak tinggal. Lagipun di sini ada kawan-kawan,” katanya yang berasal dari Sabak Bernam.

Terdahulu, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Keluarga dan Kebajikan Masyarakat Perak, Datuk Dr Wan Norashikin Wan Noordin hadir menyantuni 34 penghuni Rumah Seri Kenangan Seri Iskandar, hari ini.

Turut disampaikan sumbangan kit hari raya berupa kuih raya dan saguhati bagi menambah keceriaan sambutan Hari Raya Aidilfitri kepada mereka.

Ketika ditemui pemberita Wan Norashikin berkata setakat ini waris tidak benarkan melawat ataupun membawa pulang para penghuni sepanjang PKP dilaksanakan.

“Jika mahu hantar makanan sekali pun hanya perlu berurusan melalui pegawai di pintu masuk. Ia terpakai kepada tiga Rumah Seri Kenangan di Perak ini,” katanya.

Tambahnya ia kerana selain kanak-kanak, warga emas juga merupakan golongan yang berisiko tinggi dijangkiti wabak COVID-19.

“Penghuni di sini telah melakukan ujian saringan COVID-19 dan hasilnya negatif. Jadi kita perlu menjaga mereka daripada dijangkiti,” katanya.

Jelas beliau lagi aktiviti sepanjang Hari Raya Aidilfitri di situ juga turut dihadkan kepada aktiviti dalam premis tanpa melibatkan individu atau pihak luar.

Selain di Seri Iskandar, setakat ini Perak mempunyai dua buah lagi Rumah Seri Kenangan iaitu di Taiping dan Ulu Kinta yang kesemua penghuni berjumlah mencecah 500 orang.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");