Panasnya Hari Ini

‘Tak kena masa’

“Ini bukan masa yang tepat kerana negara dan dunia masih bercelaru dengan COVID-19,” kata Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Terengganu, Senator Datuk Razali Idris.

Razali berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai usul undi tidak percaya terhadap Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang dikemukakan bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad pada Isnin lalu.

Walaupun mungkin ada sebahagian ahli parlimen pembangkang menyokong usul dikemukakan Ahli Parlimen Langkawi itu, Razali berpendapat tidak mungkin rakyat akan menyokong tindakan itu ketika negara sibuk dengan COVID-19.

“Tindakan Dr Mahathir terhadap Muhyiddin bukan sahaja tindakan luar biasa tetapi janggal dan tidak kena pada masanya.

“Saya fikir, ini bukanlah masa yang tepat untuk menjatuhkan sesiapa dan tiada keperluan untuk membentangkannya di Parlimen tetapi ia terpulang kepada Speaker Dewan Rakyat (Tan Sri Mohamad Ariff Mohd Yusof) untuk terima atau tidak.

“Tapi bagi seorang pengerusi yang mengetuai parti yang sama dan mengusulkan undi tak percaya pada presiden, saya rasa ia tidak pernah berlaku dan agak pelik,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Menurut Razali, apa yang menjadi keutamaan ketika ini adalah menyelamatkan negara daripada COVID-19 dan kesannya terhadap ekonomi, keselamatan dan kesihatan rakyat.

“Malah, kita boleh lihat sebahagian besar rakyat dapat menerima pemerintahan Perdana Menteri ketika ini (Muhyiddin) yang begitu cekap dalam menguruskan COVID-19 dan negara.

“Kita tak nampak ada rakyat yang memberontak dengan apa yang dilakukan oleh Perdana Menteri. Jadi, apa perlunya usul sebegini dibuat pada masa sekarang?” katanya.

Ketika diminta mengulas mengenai BERSATU yang kini berpecah dua, Razali mengakui perkara itu sambil memaklumkan hanya pemilihan parti yang akan dibuat tidak lama lagi yang akan jadi penentu.

“Kita tak boleh menafikannya tetapi sekarang bukanlah masa yang sesuai untuk bincang usul sebegitu, nak jatuhkan orang,” katanya.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");