Membawang Hari Ini

‘Tak Logik ‘Shooting’ Dengan SOP Normal Baharu’

PELAKON terkenal, Nabila Huda berpendapat adalah tidak logik penggambaran drama atau filem dijalankan dalam suasana normal baharu dengan prosedur operasi standard (SOP) yang ketat.

Ia susulan kenyataan Menteri Kanan (Kluster Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, semalam, yang membenarkan aktiviti penggambaran kembali beroperasi selepas Aidilfiri iaitu pada penghujung Jun.

Nabila yang juga pelakon filem Mama berkata, banyak perkara perlu diambil kira terutama membabitkan proses penggambaran dan babak yang akan dibuat.

“Kalaulah kita dibenarkan untuk kembali ‘shooting’ mengikut SOP, macam mana nak berlakon dengan cara normal baharu? Tak logik. Bukan tak setuju. Faham, semua sudah kalut nak berkerja. Saya pun dalam posisi yang sama. Saya rindu nak masuk set.

“Sebagai contoh, penggambaran ‘outdoor’ untuk babak yang membabitkan orang ramai, gaduh, macam mana nak buat babak gaduh tapi penjarakan sosial? Semua kru pakai pelitup muka ketika penggambaran, tapi bagaimana dengan kami? Pelakon? Masa sedang berlakon kena pakai ‘mask’ dan buka ‘mask’ selepas itu pakai semula apabila pengarah cakap ‘cut’?

“Bagaimana pula kalau kita ‘shoot’ tapi kita terkena jangkitan didapati positif. Syarikat produksi boleh tak biayai kos perubatan sepenuhnya? Boleh tak produksi jamin kita takkan dijangkiti ketika penggambaran?

“Bagaimana jika dijangkiti ketika penggambaran kita tak tahu, sekali terkena pada semua keluarga di rumah dan adakah syarikat produksi boleh tanggung kos perubatan untuk sekeluarga?” katanya.

Selain itu, Nabila menerusi bebenang di Twitter turut mempersoalkan beberapa perkara lain ketika penggambaran dijalankan.

“Kalau babak kita sakit lumpuh, perlu pelukan dari suami atau anak, macam mana kita nak penjarakan sosial dengan babak itu? Ya faham kita boleh daftar nama dan ambil suhu badan sebelum penggambaran bagi pastikan semua okay, tapi macam mana kita nak ‘shoot’ membabitkan orang ramai?

“Nak mekap muka kena ada sentuhan sesama sendiri sedang kita tak boleh nak bersalaman pun. Hanya pegang dada dan tunduk saja. Betul? Macam mana kita nak bekerja kalau rasa tak selamat dan kita belum pulih terus. Kerja kita susah. Kalau pengacara TV itu lain,” katanya.

Nabila turut mengakui hampir putus asa apabila aktiviti penggambaran tidak dibenarkan memandangkan itu adalah punca pendapatannya lapor Harian Metro.

“Sejujurnya, saya gembira tengok rakan-rakan belakang tabir, penolong pengarah, pengarah, mekap artis dan wardrobe yang sudah ‘move on’ dengan isu tak berkerja ini dengan berniaga atas talian Untuk meneruskan kehidupan. Saya rasa terharu sekurang-kurangnya mereka berusaha mencari jalan nak cari duit untuk hidup.

“Saya tidak tahu nak cakap macam mana. Saya pun rindu nak kerja. Saya pun hampir pokai, sama macam anda tapi kena ‘move on’ dan usaha cara lain. Berniaga, buat ulasan produk dan apa saja yang cukup nak beli beras, makanan dan bayar serta pelbagai lagi. Cari duit untuk selesaikan itu semua saja buat masa sekarang,” katanya

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");