Berita Hari Ini

Terkejut Pengunjung Pasar Basah Bawa Anak Kecil

TUMPAT- “Mungkin mereka silap faham mengenai kelonggaran yang diberikan kerajaan dengan menyangkakan sudah bebas boleh keluar ke tempat tumpuan orang ramai termasuk membawa anak kecil,” kata penjual ikan di Pasar Sumayyah, Nor Syamsita Hussin.

Itu reaksinya berhubung situasi pasar basah itu yang dipenuhi orang ramai yang turut membawa anak kecil ke lokasi tumpuan ramai semalam sehingga tular di media sosial.

Nor Syamsita, 40, berkata, agak mengejutkan apabila melihat ramai wanita yang membawa anak berusia antara tiga hingga 10 tahun ke pasar basah itu semalam sedangkan perintah kawalan pergerakan (PKP) masih berjalan seperti biasa.

“Saya agak kebanyakan daripada mereka silap faham mengenai pengumuman yang dibuat oleh kerajaan dua hari lalu mengenai banyak sektor yang bakal beroperasi mulai esok ataupun status Kelantan sebagai zon hijau yang diisytiharkan beberapa hari lalu.

“Situasi semalam agak mengejutkan dengan bilangan pengunjung yang agak ramai seolah-olah tidak mengendahkan peraturan dan langsung tidak berasa takut akan penularan wabak Covid-19,” katanya ketika ditemui di sini, hari ini.

Tinjauan yang dibuat pagi ini di Pasar Sumayyah mendapati lebih 20 anggota keselamatan dan penguat kuasa pihak berkuasa tempatan (PBT) mengawal sekitar lokasi berkenaan.

Kehadiran pengunjung dilihat agak ramai di semua lot perniagaan terutama ruang jualan barang basah namun sudah tiada kelibat ibu bapa yang membawa anak kecil.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Tumpat, Superintendan Ab Rashid Mat Daud ketika dihubungi berkata, pihaknya sudah mengambil tindakan segera berhubung penularan gambar pengunjung yang ingkar PKP sejak semalam menerusi media sosial.

Memetik Harian Metro beliau berkata, pemantauan yang lebih rapi dibuat membabitkan lima lokasi pasar basah sekitar Tumpat iaitu di Pasar Sumayyah (bandar Tumpat), Wakaf Bharu, Kampung Laut, Chabang Empat dan Pengkalan Kubor.

“Seramai 70 anggota yang terdiri daripada Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Rela dan Majlis Daerah Tumpat (MDT) yang setiap hari membuat pemantauan dan rondaan di lokasi tumpuan awam.

“Pemantauan di pasar basah adalah sepanjang urusan jual beli beroperasi iaitu bermula pada jam 8 pagi sehingga 2 petang dan pasukan dibahagikan mengikut kumpulan untuk penugasan yang sama di lokasi tumpuan orang ramai yang lain.

“Penugasan akan lebih diperketatkan bermula esok iaitu sempena Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) bagi memastikan orang ramai terus mematuhi peraturan terutama penjarakan sosial,” katanya.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");