Berita Hari Ini

Tiada usaha wajar dilakukan berkaitan Ong semasa beliau dilantik oleh Najib – Saksi

Bekas Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) 1Malaysia Development Berhad (1MDB),  Shahrol Azral Ibrahim Halmi memberitahu Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini bahawa lembaga pengarah 1MBD tidak pernah menyiasat latar belakang seorang daripada pengarah bebasnya, Ong Gim Huat, semasa beliau dilantik oleh Najib Razak.

Shahrol Azral, 50, berkata nama Ong pertama kali disebut oleh ahli perniagaan dalam buruan Low Taek Jho atau Jho Low namun pelantikan pengarah hanya boleh dilakukan Najib sebagai pemegang saham tunggal 1MDB.

1MDB adalah sebuah syarikat pembangunan strategik yang dimiliki sepenuhnya oleh Menteri Kewangan Diperbadankan dan Najib merupakan Menteri Kewangan ketika itu.

“Sepanjang tempoh saya memegang jawatan CEO dari 2009 hingga 2013, Tan Sri Ong tidak pernah menunjukkan sebarang tanda yang boleh membuatkan saya percaya bahawa beliau mempunyai niat lain selain menjaga kepentingan syarikat.

“Lembaga Pengarah bertanggungjawab membuat keputusan yang betul namun hak untuk melantik terpulang kepada Datuk Seri Najib. Saya tidak melakukan sebarang usaha wajar (berhubung pelantikan itu) kerana Datuk Seri mahukan beliau,” katanya.

Saksi kesembilan pendakwaan itu berkata demikian semasa disoal balas oleh Muhammad Shafee Abdullah, peguam bekas perdana menteri tersebut yang berdepan pertuduhan rasuah dan pengubahan wang haram membabitkan RM2.3 bilion dana 1MDB.

Isu Ong dibangkitkan Muhammad Shafee yang berkata bahawa satu laporan berita pada 2015 menyebut bahawa beliau adalah kawan lama dan rakan kongsi bapa Jho Low.

Shahrol Azral berkata beliau tidak tahu mengenai hubungan Ong dengan bapa Jho Low iaitu Tan Sri Larry Low.

Muhammad Shafee: Jika anda secara peribadi meminta sesiapa memeriksa latar belakang Ong, anda akan mengetahui bahawa Ong sebenarnya tidak begitu bebas, beliau seorang partisan atau berpihak. Sebenarnya hakikat ini (Ong merupakan kawan lama dan rakan kongsi Jho Low) membuktikan bahawa Ong tidak boleh menjadi seorang pengarah bebas. Adakah anda setuju dengan saya?

Shahrol Azral: Saya tidak mempunyai sebarang komen. Saya tidak rasa saya layak untuk menghakiminya.

Saksi itu juga tidak bersetuju dengan cadangan Muhammad Shafee bahawa beliau keberatan untuk memberikan dokumen berhubung usaha sama 1MDB dengan PetroSaudi International (PSI International) kepada Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) kerana ia akan mendedahkan penipuan mengenai perjanjian tersebut.

“Saya masih ingat bahawa saya yang mendesak perkara itu (agar dokumen terbabit diserahkan kepada PAC) dan agar kami sedaya-upaya mematuhinya namun syarikat usaha sama tersebut bukan lagi di bawah kawalan kami.

“Kebimbangan saya berhubung permintaan PAC ialah apabila pembangkang mendapat dokumen tertentu, ia akan menjadi isu rekod awam… dan mereka akan mengambil serta memilih apa yang akan diberikan kepada pihak media,” kata Shahrol Azral.

Muhammad Shafee: Saya katakan kepada anda, jika kesemua dokumen ini diserahkan ketika itu, ia akan mendedahkan anda bersama-sama Jho Low, Jasmine Loo, Casey Tang, Patrick Mahoney dan Tarek Obaid sebagai individu yang bersubahat untuk menyeleweng berbilion-bilion dolar daripada 1MDB?

Shahrol Azral: Saya tidak setuju.

Muhammad Shafee: Saya katakan kepada anda bahawa satu-satunya sebab anda bimbang ialah kerana anda sedar bahawa komposisi anggota PAC bukan bodoh dan mereka akan membongkarkan penipuan ini.

Shahrol Azral: Saya tidak setuju.

Muhammad Shafee turut merujuk saksi kepada laporan PAC mengenai limitasi dan tadbir urus yang dibuat oleh Lembaga Pengarah 1MDB.

Muhammad Shafee: Perenggan ini menyebut – Bekas CEO 1MDB Encik Shahrol Azral perlu bertanggungjawab atas kesilapan-kesilapan ini (yang berkaitan dengan skandal 1MDB). Pernahkah anda membacanya sebelum ini?

Shahrol Azral: Saya tidak membacanya dengan teliti.

Muhammad Shafee: Anda tahukan mereka tidak melayan anda dengan baik?

Shahrol Azral: Mereka menjadikan saya sebagai kambing hitam.

Najib, 67, berdepan empat pertuduhan menyalahgunakan kedudukannya untuk mendapatkan suapan berjumlah RM2.3 bilion membabitkan dana 1MDB dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan jumlah wang yang sama.

Perbicaraan di hadapan Hakim Collin Lawrence Sequerah bersambung esok.

-Bernama

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");