Berita Hari Ini

TNB: Pengguna tak perlu bimbang bil elektrik tinggi

Orang ramai tidak perlu bimbang sekiranya menerima bil elektrik yang tinggi.

Pengerusi Tenaga Nasional Berhad (TNB), Mahdzir Khalid berkata kadar caj yang tinggi itu berlaku berikutan penyambungan semula pembacaan meter yang dihentikan sementara sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) berkuat kuasa 18 Mac 2020.

“Kami sedia maklum mengenai aduan netizen mengenai bil tinggi yang diterima menerusi pembacaan bil fizikal yang disambung semula sejak 15 Mei 2020.

“Janganlah khuatir. TNB sentiasa berlaku adil dan sensitif dengan kegelisahan segelintir pengguna yang menerima bil sebegini,” katanya dalam satu kenyataan.

Mahdzir berkata, pegawai khidmat pelanggan TNB juga sentiasa bersedia membantu menjelaskan mengenai perkiraan dan bagaimana pelarasan bil dibuat.

Katanya, pihak TNB sebelum ini memaklumkan sebaik pembacaan bil disambung semula, bil pelanggannya akan diselaraskan.

“Semasa operasi pembacaan meter dihenti sementara, TNB mengeluarkan bil anggaran berdasarkan bil bulan sebelum PKP berkuat kuasa.

Mahdzir berkata pelanggan TNB juga boleh mendapatkan makluman mengenai perkiraan bil semasa PKP dengan melayari https://www.tnb.com.my/prihatin.

Beliau juga berkata, TNB menawar beberapa insentif bagi meringankan beban pengguna yang terkesan akibat wabak Covid-19.

“Pada 14 Mei 2020 TNB mengumumkan mengenai pakej pasca PKP merangkumi Pelan Bayaran Mudah (PBM), penangguhan surcaj lewat bayar (sehingga 30 September 2020) dan lanjutan penangguhan pemotongan bekalan (sehingga 31 Julai 2020).

“Semua ini ditawarkan secara automatik kepada 7.5 juta pelanggan kediaman kami,” katanya.

Katanya, selain pakej pasca PKP, TNB juga menawarkan diskaun berperingkat berjumlah 2% hingga 50% bagi penggunaan dari 1 April 2020 hingga 30 September.

“Diskaun berperingkat dan pakej pasca PKP ini diharap dapat meringankan lagi beban rakyat yang terjejas akibat wabak Covid 19,” katanya.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");