Berita Hari Ini

Tragedi Pagi Syawal, Ibu Dan Empat Anak Rentung Di Membakut

MEMBAKUT: Kegembiraan di awal pagi Syawal bertukar tragedi apabila seorang ibu dan empat anak lelakinya rentung dalam kejadian kebakaran di Kampung Binsuluk, Membakut, Sabah pagi ini.

Mangsa yang terlibat dikenali sebagai Aishah Jumat, 58, bersama anak lelakinya, Dzulkarnain Othman, 34, Dzulnisham, 27, Rozaini, 26 dan Rosdi, 24.

Dua lagi anaknya, berusia 25 dan 29 tahun yang turut mengalami kecederaan dalam insiden itu akibat melecur, kini menjalani rawatan di Hospital Beaufort.

Memetik Astro Awani, suami mangsa, Othman Ali, 64, bersama seorang menantunya bagaimanapun terselamat dalam kebakaran berkenaan.

Bomba menerima panggilan mengenai kejadian terbabit kira-kira jam 2.54 pagi tadi. - Foto JBPM

Sementara itu, Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah, Kamarulzaman Malik Abdullah ketika dihubungi berkata, pihaknya menerima panggilan mengenai kejadian terbabit kira-kira jam 2.54 pagi tadi.

“Sepasukan bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kuala Penyu kemudiannya dikejarkan ke lokasi bagi operasi memadam.

“Kebakaran ini melibatkan sebuah rumah jenis tidak kekal yang musnah seratus peratus. Kita berjaya mengawal api kebakaran sekitar jam 5 pagi tadi,” katanya.

Jelas beliau, hasil pemeriksaan di lokasi, bomba berjaya menemukan lima mangsa yang rentung dan telah menyerahkannya kepada pihak polis.

“Terdapat dua mangsa yang tercedera dalam kejadian ini dan kini telah ditempatkan di hospital bagi rawatan lanjut.

“Punca kebakaran dan jumlah kerugian masih dalam siasatan,” katanya.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");