Panasnya Hari Ini

Tun M sedia disingkir tapi perlu ikut perlembagaan parti

Tun Dr Mahathir Mohamad berkata beliau rela disingkirkan daripada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) tetapi ia perlu dibuat mengikut peraturan dan perlembagaan parti.

Beliau juga bersedia dipanggil untuk menghadiri mesyuarat Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) parti sebelum disingkirkan.

“Dalam cubaan menyingkirkan saya, ada banyak kesalahan dilakukan. Saya rela disingkirkan dan bersedia jika dijemput dalam mesyuarat pimpinan parti.

“Semasa saya menjadi Pengerusi (Presiden) UMNO, ketika Anwar Ibrahim mahu disingkirkan, beliau dipanggil mesyuarat malah dibenarkan berucap. Ini tidak saya tidak dijemput dan diberikan peluang berucap, ini juga satu kesalahan,” katanya dalam satu rakaman video di siarkan di laman sosialnya, di sini, hari ini.

Rakaman video itu sebagai reaksi tindakan MPT BERSATU yang ingin menyingkirkan Dr Mahathir sebagai Pengerusi parti.

Dr Mahathir berkata, tindakan MPT tidak menjemput beliau dan Timbalan Presiden, Datuk Seri Mukhriz Mahathir bercanggah dengan perlembagaan parti.

Mengikuti perlembagaan parti, mesyuarat parti itu mestilah dipengerusikan oleh beliau dan Presiden BERSATU, Tan Sri Muhyiddin Mohd Yassin hanya boleh menggantikan beliau sekiranya berada di luar negara atau tidak mampu mempengerusikan mesyuarat.

“Sebarang keputusan MPT membabitkan dasar dan tindakan yang penting perlu mendapat kelulusan saya sebagai pengerusi,” katanya.

Beliau turut membidas tindakan Setiausaha Kerja parti yang memanggil mesyuarat yang tidak menyatakan dengan jelas arahan siapa untuk mesyuarat itu diadakan.

“Hanya saya selaku pengerusi boleh memanggil mesyuarat dan kini Muhyiddin mengisytiharkan dirinya pengerusi sementara tanpa mendapatkan kelulusan MPT. Ini satu lagi kesalahan dilakukan Muhyiddin.

“Muhyiddin mungkin dijangkiti penyakit UMNO yang memang tidak mengikut perlembagaan parti,” katanya.

Dr Mahathir juga mempertikaikan pelantikan Datuk Seri Hamzah Zainuddin sebagai Setiausaha Agung parti yang melanggar perlembagaan parti.

“Perlembagaan parti menetapkan orang UMNO yang masuk BERSATU mesti mengisytiharkan dirinya bebas untuk masuk BERSATU dan selepas diterima masuk parti tidak boleh memegang apa-apa jawatan dalam parti. Namun, Muhyiddin terus anggap Hamzah selaku Setiausaha Agung parti.

“Yang menjadi setiausaha parti ialah Datuk Marzuki Yahya yang dilantik oleh Muhyiddin,” katanya.

Bekas Perdana Menteri itu mengulangi kebimbangannya Muhyiddin akan menghancurkan parti yang diasaskan mereka bersama.

“Saya amat sedih dengan perkara yang berlaku ini kerana saya bersama dengan Muhyiddin sama-sama menubuhkan parti BERSATU.

“Tindakan Muhyiddin sekarang ini nampak akan menyebabkan parti BERSATU ini hancur kerana kalau diadakan Pilihan Raya Umum (PRU) hari ini, kalaulah dia kalah dia tak jadi PM.

“(Apabila) Dewan (Rakyat) dibubar maka parti BERSATU ini akan hancur kerana kita tak dapat sokongan daripada PH dan kita juga tak dapat sokongan parti yang kalah (pada PRU-14) iaitu UMNO,” katanya.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");