Membawang Hari Ini

Wak Doyok Mengaku Tidak Bersalah Dakwaan Guna Lambang Sultan Johor

JOHOR BAHRU: Personaliti fesyen dan pelakon, Wak Doyok didakwa di Mahkamah Sesyen, di sini, hari ini atas pertuduhan menggunakan lambang kemahkotaan Sultan Johor, Sultan Ibrahim Iskandar tanpa kebenaran baginda, Khamis lalu.

BH Onlin melaporkan, Wak Doyok atau nama sebenarnya, Mohd Azwan Md Nor, 40, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Wan Mohd Norisham Wan Yaakob.

Mengikut pertuduhan, dia didakwa menggunakan lambang kemahkotaan Duli Yang Maha Mulia Sultan Ibrahim bagi tujuan persendirian tanpa mendapatkan kebenaran bertulis daripada Sultan Johor.

Tertuduh didakwa melakukan kesalahan berkenaan di Pejabat Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Iskandar Puteri kira-kira jam 2.15 petang pada 30 April lalu.

Wak Doyok didakwa mengikut Seksyen 3(1)(a) Enakmen Lambang, Gelaran dan Anugerah (Mencegah Penggunaan Tidak Wajar) Johor 2017.

Ia membawa hukuman denda tidak kurang daripada RM250,000 atau tidak lebih RM500,000 atau penjara maksimum lima tahun atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Kes berkenaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Nor Azizah Mohamad manakala tertuduh diwakili peguam, MN Halim Md Amin dan Syaffie Naim.

Terdahulu, Nor Azizah menawarkan jaminan RM50,000 ke atas tertuduh berikutan keseriusan kes yang dituduh ke atasnya.

Namun, peguam tertuduh merayu denda yang rendah dengan alasan anak guamnya menjaga ibunya yang berusia 78 tahun di samping pendapatan perniagaannya terjejas akibat pandemik COVID-19.

Hakim kemudian memerintahkan tertuduh dijamin sebanyak RM35,000 dengan seorang penjamin manakala sebutan kedua kes ditetapkan pada 15 Jun depan bagi penyerahan dokumen.

Terdahulu Wak Doyok yang berkemeja batik coklat tiba di Kompleks Mahkamah Johor Bahru kira-kira jam 9 pagi.

Minggu lalu, Wak Doyok dilaporkan memberi keterangan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Iskandar Puteri, dekat sini, bagi siasatan kes berkenaan.

Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay dilaporkan berkata, kertas siasatan kes berkenaan akan disiapkan sebelum ia diberi pada Timbalan Pendakwa Raya bagi tindakan susulan.

Wak Doyok mengundang kontroversi apabila tindakannya menempah dan membeli cincin dengan ukiran lambang peribadi Sultan Johor, Sultan Ibrahim Iskandar pada 2018 melalui dalam talian dari sebuah syarikat di Indonesia.

Beliau dilaporkan memohon maaf kepada keluarga Diraja Johor selepas ditegur Tunku Temenggong Johor, Tunku Idris Iskandar Sultan Ibrahim .

Wak Doyok membuat permohonan maaf di akaun Instagram selepas turut diminta memberi penjelasan oleh Tunku Idris di akaun Instagram baginda.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");