Berita Hari Ini
Like

Warga Jerman jalan kaki rentas negeri ditahan

May 30, 2020
246 Views
0 Comments
1 minute read
no-cover

Seorang lelaki warganegara Jerman yang berjalan kaki masuk ke negeri ini tanpa dokumen sah merentas negeri, direman selama empat hari bermula hari ini.

Ketua Polis Daerah Arau, Supt Nanda Maarof berkata lelaki berusia 24 tahun itu dilihat berjalan kaki dari arah Changlun, Kedah, sebelum ditahan ketika tiba di sekatan jalan raya (SJR) Ulu Pauh dekat Arau kira-kira 12.45 tengah hari semalam.

“Hasil pemeriksaan oleh anggota bertugas di SJR Ulu Pauh mendapati bahawa lelaki tersebut mempunyai dokumen perjalanan yang sah namun tidak mempunyai surat kebenaran merentas negeri daripada pihak berkuasa,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Nanda berkata lelaki tersebut memberi alasan bahawa dia ingin ke Pulau Langkawi dengan menaiki feri di Kuala Perlis, namun mendakwa tidak mengetahui bahawa ketika ini negara sedang menjalani tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

Katanya warga Jerman itu juga memberitahu bahawa dia tiba di Malaysia menerusi pintu masuk Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada 3 Mac lepas dan berjalan kaki ke Gerik, Perak dan terkandas di sana selama dua bulan sebelum ke Perlis.

Beliau berkata lelaki tersebut direman selama empat hari bermula hari ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 270 Kanun Keseksaan dan Peraturan 15 Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah Di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) 2020.

“Polis telah maklumkan kes ini kepada Kedutaan Jerman di Malaysia dan lelaki terbabit akan dibawa ke Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) Perlis untuk menjalani ujian saringan Covid-19,” katanya.

– Bernama

Komen & Pendapat

Comments are closed.