Berita Hari Ini

10 hari berturut-turut tiada kematian baru akibat Covid-19

Tiada kes kematian berkaitan Covid-19 direkodkan di Malaysia bagi tempoh 10 hari berturut-turut sejak 23 Mei lepas, dengan jumlah kumulatif kes kematian kekal pada 115 kes (1.46 peratus).

Memaklumkan perkembangan terkini kes jangkitan Covid-19 di Malaysia yang semakin menunjukkan penurunan, Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah berkata, hanya enam kes baharu melibatkan kes dalam kalangan warganegara Malaysia hari ini.

Katanya terdapat 38 kes baharu dilaporkan, menjadikan jumlah kumulatif kes adalah 7,857 kes, manakala jumlah kes aktif dengan kebolehjangkitan Covid-19 adalah 1,338 kes, yang telah diasingkan serta diberi rawatan.

“Sejumlah 26 kes adalah kes import yang mendapat jangkitan di luar negara, manakala daripada 12 kes penularan tempatan, enam kes adalah kes bukan warganegara dan hanya enam kes dalam kalangan warganegara Malaysia,” katanya dalam sidang akhbar harian perkembangan Covid-19 di Putrajaya, hari ini.

Sejumlah 51 kes yang telah pulih dan dibenarkan discaj, menjadikan jumlah kumulatif kes telah pulih dan discaj sebanyak 6,404 kes (81.5 peratus).

Sehingga kini, sebanyak lapan kes positif Covid-19 sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) dan dua daripada kes berkenaan, memerlukan bantuan pernafasan.

Menyentuh tentang kes penularan tempatan dalam kalangan rakyat Malaysia, Dr Noor Hisham berkata, kes harian Covid-19 dalam kalangan rakyat Malaysia yang mendapat jangkitan di dalam negara (iaitu dengan menolak kes import, kes bukan warganegara di dalam komuniti dan kes bukan warganegara di Depoh Tahanan Imigresen) didapati sejajar dengan unjuran kes yang dibuat Institut Kesihatan Negara (NIH), Kementerian Kesihatan.

Katanya ia menggambarkan impak positif tindakan yang telah diambil oleh kerajaan, serta pematuhan rakyat Malaysia terhadap prosedur operasi standard (SOP), dan saranan diberikan.

“Pihak KKM ingin mengucapkan tahniah kepada rakyat Malaysia, di atas kerjasama dengan pihak kerajaan bagi pencapaian ini, dalam usaha kita untuk sama-sama membendung penularan jangkitan Covid-19.

“Namun begitu, masyarakat perlu terus kekal waspada dan patuh kepada SOP serta saranan yang ditetapkan, bagi memastikan tiada peningkatan kes Covid-19 dalam kalangan masyarakat setempat,” tegasnya.

–  Bernama

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");