Perak Hari Ini
Like

60 Pekerja Syarikat Bas Ekspres Dakwa Majikan Tidak Bayar Gaji, Gagal Carum KWSP Dan PERKESO

June 30, 2020
469 Views
0 Comments
2 minutes read
60 Pekerja Syarikat Bas Ekspres Dakwa Majikan Tidak Bayar Gaji, Gagal Carum KWSP Dan PERKESO

IPOH: Kira-kira 60 ke 70 pekerja Konsortium Bas Ekspres Semenanjung meminta agar majikan segera melunaskan tunggakan gaji yang tidak diterima sejak Mac lalu.

Malah mereka yang terdiri daripada kakitangan dan pemandu bas itu mendakwa majikan gagal mencarum ke Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO), sejak 2018.

Wakil Jawatankuasa Pekerja Konsortium Bas Ekspres Semenanjung (JKPKBES) Taiping, Mohd Fakhrul Rahman Mat Saleh, 35, mendakwa majikan juga gagal memberi makluman berhubung status terkini berkenaan Program Subsidi Upah (PSU) yang diperkenalkan kerajaan pada 27 Mac lalu.

“Bayaran terakhir kami terima ialah dua hari sebelum Hari Raya Aidilfitri. Itu pun cuma sebanyak RM100 selain ada antara kami yang tidak dapat.

“Berkenaan persoalan caruman KWSP ada kami ajukan kepada majikan namun jawapan yang diberikan seolah-olah menghina pekerja.

“Dia katakan ianya adalah masalah antara majikan dengan KWSP. Dia juga sebutkan pekerja yang bersoal tentang hal ini banyak jumpa di tepi jalan.

“Dia kata kalau kami tidak berminat lagi bekerja kami boleh berhenti pada bila-bila masa,” katanya dalam satu perhimpunan aman di hadapan Bangunan Persekutuan, di sini, hari ini.

Selain itu, Mohd Fakhrul yang bekerja sebagai pemandu bas sejak tiga tahun lalu mendakwa kesemua pekerja mengalami tunggakan gaji sekitar RM6,000 bagi tempoh tiga bulan.

“Pada Mei saya ada berjumpa dengan pegawai sumber manusia untuk mengadu tentang masalah ini terutama berkenaan PSU, namun katanya masih dalam proses.

“Kemudian saya ada menghubungi pihak pengarah untuk mengadu hal sama. Namun jawapannya ‘Insyallah, saya akan datang’. Sehingga hari ini tidak pernah datang berjumpa kami,” katanya.

Sementara itu, Nur Hafsah Mohd Shaheran, 24, yang berkhidmat sebagai eksekutif jualan di syarikat tersebut sejak tahun lalu turut mendakwa menerima nasib sama.

“Ini pekerjaan pertama saya selepas tamat belajar. Saya tidak berpuas hati kerana kami yang tidak dibayar gaji tetap diminta untuk bekerja seperti biasa sehingga hari ini.

“Apabila saya meminta untuk diberikan cuti tanpa gaji, pegawai sumber manusia mengugut untuk tidak langsung membayar gaji saya. Saya tidak tahu kepada siapa lagi hendak mengadu,” katanya

Terdahulu kesemua mereka yang majoriti tiba dari Taiping hadir ke Jabatan Tenaga Kerja di Bangunan Persekutuan Greentown, di sini bagi membuat aduan selepas mendakwa tidak dibayar gaji selain majikan tidak membuat caruman KWSP dan PERKESO terhadap mereka.

Komen & Pendapat

Comments are closed.