Panasnya Hari Ini

AJK Umno Bahagian Pekan Calon BN PRK DUN Chini

PETALING JAYA: Pengerusi Majlis Belia Felda Malaysia (MBFM) Wilayah Kuantan, Mohd Sharim Md Zin adalah calon Barisan Nasional (BN) yang akan bertanding bagi mempertahankan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Chini 4 Julai depan, kata Pengerusi BN Pahang Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail.

FMT melaporkan Wan Rosdy berkata, pemilihan Mohd Sharim dibuat selepas BN Pahang melakukan tinjauan dan turut mendapatkan pandangan daripada pengundi di DUN Chini dan rakan dalam Muafakat Nasional.

“Kami juga memahami hasrat orang muda, supaya golongan ini dapat diberikan ruang dan peluang supaya suara anak muda dapat kedengaran di Dewan Undangan Negeri Pahang nanti.

“Calon yang akan kita pertaruhkan pada PRK DUN Chini adalah seorang calon muda, anak tempatan, berpengalaman dalam organisasi belia, termasuk organisasi Felda.

“Beliau, Mohd Sharim Md Zin, juga merupakan ahli Jawatankuasa Umno Bahagian Pekan. Saya berdoa supaya calon BN ini akan mendapat keberkatan Allah,” katanya dalam majlis pengumuman calon BN, hari ini.

Wan Rosdy berkata, pilihan raya kecil ini juga merupakan kayu pengukur bagi menilai keutuhan kerajaan Perikatan Nasional (PN) dan sudah tentunya akan menjadi pemangkin buat pilihan raya umum ke-15 (PRU15).

“Ada banyak keluarbiasaan dalam PRK DUN Chini ini, antanya PRK ini merupakan pilihan raya kecil pertama selepas tertubuhnya kerajaan Perikatan Nasional. Pastinya apa sahaja keputusan yang diperoleh (akan) menjadi kayu pengukur PN.

“Walaupun PRK ini di peringkat DUN sahaja, ia menjadi pemangkin buat PRU15. Ia juga berlaku dalam Umno Bahagian Pekan, di bawah kepimpinan Datuk Seri Najib Razak yang merupakan bekas perdana menteri dan presiden Umno,” katanya.

Penamaan calon bagi PRK Chini di Pahang akan diadakan 20 Jun ini dan hari mengundi pada 4 Julai nanti.

PRK itu diadakan susulan kematian penyandangnya, Datuk Seri Abu Bakar Harun, 60, akibat serangan jantung selepas terjatuh dan mengalami sesak nafas pada 7 Mei lalu.

Beliau yang mewakili BN pada pilihan raya umum 2018 berjaya mempertahankan kerusi yang disandangnya itu dalam saingan 3 penjuru dengan majoriti 4,622 undi, mengetepikan calon PAS yang mendapat 5,405 undi dan calon PKR mewakili Pakatan Harapan (PH) yang meraih 1,065 undi.

DUN Chini terletak di dalam Parlimen Pekan yang diwakili oleh bekas perdana menteri, Najib Razak.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");