IPOH: Seramai 11 individu termasuk lima daripadanya warga Indonesia ditahan dalam Op Benteng Lintang kerana terlibat dalam aktiviti penyeludupan migran, baru-baru ini.
Ketua Polis Perak, Datuk Razarudin Husain berkata warga Indonesia itu terdiri daripada tiga lelaki dan dua wanita sementara kesemua 11 yang ditahan berumur antara 33 sehingga 66 tahun.
“Penyeludupan itu memfokuskan kepada aktiviti penyeludupan migran menerusi laluan yang tidak diwartakan, di kawasan Hutan Melintang, Hilir Perak,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Katanya lagi turut ditahan tiga anggota polis dari Balai Polis Hutan Melintang yang berumur dalam lingkungan 30an kerana disyaki membantu sindiket tersebut.
Ujarnya selain itu antara yang dirampas adalah sebuah bot nelayan kelas C; sebuah bot laju; dua buah kereta serta 21 telefon bimbit pelbagai jenama yang kesemuanya dianggarkan bernilai RM1 juta
Menurut Razarudin, penangkapan itu hasil daripada Op Benteng yang dijalankan serentak di seluruh negara bermula 4 April lalu.
“Aktiviti penyeludupan itu telah ditumpaskan pihak Polis pada 2015 dengan mengenakan tindakan Perintah Tahanan Akta Pencegahan Jenayah (POCA) ke atas sembilan ahli sindiket ketika itu.
“Pada tahun 2016 sehingga 2017, aktiviti penyeludupan migran itu telah dibendung sepenuhnya. Namun ianya dikesan kembali aktif pada tahun 2019 setelah kesemua tahanan POCA dibebaskan pada 2017,” katanya.
Tambah beliau, rangkaian sindiket itu terdiri daripada ejen yang menerima tempahan migran untuk kembali ke negara jiran, ‘transporter’ dengan menggunakan kereta persendirian serta teksi.
Turut terlibat ejen rumah penumpangan seperti homestay, hotel bajet, dan khemah di kawasan paya; pengawal air; pemilik bot serta ketua penyeludupan di negara jiran.
Katanya polis kini sedang giat mengesan beberapa ejen pendatang asing tanpa izin (PATI) yang masih bebas.

“Kesemua yang ditahan telah direman di bawah Seksyen 4(5) Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) 2012 (SOSMA) selama 28 hari bermula 5 Jun.
“Kertas siasatan akan dirujuk kepada Pejabat Peguam Negara dalam masa terdekat untuk mendapatkan arahan pendakwaan.
“Jika disabit kesalahan boleh dihukum dengan hukuman penjara sehingga 20 tahun. Pendakwaan dijangka akan dijalankan pada 2 Julai nanti,” jelas beliau.