Panasnya Hari Ini

Anwar Gagal Dapat Sokongan, DAP Dan Amanah Beritahu PKR

PETALING JAYA: DAP dan Amanah beritahu PKR bahawa presiden mereka, Anwar Ibrahim gagal mendapat sokongan mencukupi untuk menjadi perdana menteri, menggesa parti itu menerima “opsyen kedua” yang dipersetujui majlis presiden Pakatan Harapan, iaitu mencalonkan Dr Mahathir Mohamad.

Setiausaha Organisasi Kebangsaan DAP, Loke Siew Fook dan Pengarah Komunikasi Amanah, Khalid Samad dalam kenyataan bersama hari ini berkata mereka berharap gabungan itu mendapatkan sokongan bagi Mahathir kerana “opsyen pertama”, iaitu Anwar sebagai perdana menteri, tidak mendapat sokongan.

“Setelah berusaha sedaya upaya, kita mendapati opsyen pertama hanya mampu mendapat sokongan maksimum 96 ahli Parlimen, iaitu 91 daripada Pakatan Harapan dan 5 lagi termasuk Mahathir dan 4 ahli Parlimen PPBM yang bersamanya,” kata kenyataan itu.

91 wakil rakyat itu adalah 38 ahli Parlimen PKR, 42 dari DAP dan 11 dari Amanah. Berdasarkan kenyataan ini, Anwar nampaknya gagal mendapatkan sokongan sekutu PH, Warisan.

“Usaha terakhir Anwar untuk mendapatkan sokongan Gabungan Parti Sarawak juga tidak berjaya dan tempoh masa yang dipersetujui telahpun tamat dan gagal mendapat sokongan yang mencukupi,” tambahnya.

Menurut Loke dan Khalid, mesyuarat majlis presiden PH memutuskan opsyen Mahathir sebagai perdana menteri dan Anwar sebagai timbalannya akan dikemukakan sekiranya Anwar tidak mendapat sokongan mencukupi.

“Adalah diharapkan pihak PKR kembali kepada keputusan mesyuarat majlis presiden pada 30 Mei 2020 yang dipengerusikan oleh Anwar sendiri iaitu menerima opsyen kedua,” katanya.

Perkembangan ini selepas PKR mengisytiharkan ia tidak menyokong cadangan mencalonkan Mahathir sebagai perdana menteri, dan kekal dengan konsensus PH mencalonkan presidennya.

Pendirian PKR itu dimuktamadkan pada mesyuarat khas majlis pimpinan pusat PKR dengan ahli-ahli Parlimennya hari ini.

“Permasalahan berbangkit apabila Mahathir berpendirian mahu kembali buat kali ke-3 sebagai perdana menteri,” katanya dalam kenyataan.

PH yang terdiri daripada gabungan PKR, Amanah, dan DAP, disokong Warisan di Sabah dan 4 ahli Parlimen yang menyokong Mahathir, sepatutnya mengumumkan calon perdana menteri gabungan itu pada Selasa.

Pengumuman itu sebahagian dari kempen untuk kembali membentuk kerajaan menerusi undi tidak percaya.

FMT sebelum ini melaporkan PH bersetuju untuk menamakan Mahathir untuk jawatan tertinggi itu dengan Anwar Ibrahim sebagai timbalannya dengan perjanjian “hitam putih”.

Bagaimanapun, keputusan yang dilaporkan itu tidak mudah diterima penyokong Anwar, yang menuduh Mahathir memungkiri janji untuk menyerahkan jawatan itu kepada presiden PKR itu semasa pentadbiran 21 bulan PH.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");