Panasnya Hari Ini

Anwar Gesa Kerajaan Segera Buat Sidang Parlimen

Sempena Hari Parlimen Sedunia 2020 hari ini, Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Anwar Ibrahim menggesa kerajaan Perikatan Nasional (PN) untuk segera mengadakan sidang Dewan Rakyat.

Anwar yang juga presiden PKR berkata ini kerana kerajaan yang ada hari ini bukan saja tidak ada keabsahan tetapi berterusan melanggar aspek demokrasi, termasuk terus mengelak untuk mengadakan sidang parlimen.

“Badan legislatif, terutamanya institusi Parlimen adalah institusi terpenting negara. Ia tidak hanya sekadar tempat untuk mewujudkan undang-undang baru yang akan mengesankan segenap populasi negara, tetapi juga berfungsi sebagai badan pengimbang kepada cabang eksekutif.

“Konsep ini diterima pakai di semua negara demokrasi atau semi demokrasi di dunia,” kata Anwar dalam satu kenyataan di Facebooknya.

Anwar turut memetik Laman Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) yang menyebut bahawa parlimen menjadi lebih penting tatkala perang atau kemelut, apatah lagi di kala pandemik Covid-19 kini.

Tambah Anwar, parlimen diperlukan untuk meluluskan undang-undang baru, peruntukan kecemasan, memastikan kebertanggungjawaban dan meneliti setiap tindakan kerajaan agar kebocoran atau kecurangan dapat dielakkan lapor MalaysiaKini.

“Namun, lain halnya di Malaysia di mana kerajaan yang ada pada hari ini, yang tidak hanya tidak ada keabsahan tetapi terus terusan menginjak setiap aspek demokrasi, termasuk terus mengelak untuk mengadakan sidang parlimen atau Dewan Rakyat.

“Gejala ini ternyata tidak berlaku di negara-negara maju yang lain, termasuk jiran kita Singapura,” kata Anwar.

Persidangan Dewan Rakyat sebelum ini berlangsung hanya sehari sahaja pada 18 Mei lalu dan hanya bagi urusan Titah Diraja oleh Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

Bagaimanapun pembangkang tidak bersetuju dengan ketetapan itu dan menggesa agar ia dipanjang dan diadakan secara digital.

Namun tidak diendahkan oleh kerajaan PN dan berkata persidangan Dewan Rakyat diadakan secara singkat itu bagi mencegah penularan wabak Covid-19.

Sejak itu pembangkang menuduh Putrajaya cuba menyekat percubaan untuk undi tidak percaya terhadap Perdana Menteri Muhyiddin Yassin di Dewan Rakyat.

“Amatlah wajar untuk kita terus menggesa kerajaan hari ini untuk mengadakan sidang Parlimen sesegera mungkin dan menjunjung tinggi institusi Parlimen sebagai tiang seri demokrasi dan negara hukum,” kata Anwar.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");