Panasnya Hari Ini

BN Kedah Tak Puas Hati NGO Pro-Azmin Dapat 35 Kerusi Ahli Majlis – Sumber

azmin

Pemberian 35 kerusi ahli majlis pihak berkuasa tempatan (PBT) di Kedah kepada Penggerak Komuniti Negara (PKN), sebuah pertubuhan yang menyokong bekas Timbalan Presiden PKR Mohamed Azmin Ali, didakwa mencetuskan rasa kurang senang BN negeri.

Menurut sumber dalaman Umno, di bawah kerajaan negeri baru, sebanyak 60 kerusi diperuntukkan kepada PAS, diikuti BN (50), Bersatu (48) dan PKN (35).

“Peruntukkan ini dilihat sangat tidak adil dan tidak dipersetujui oleh kebanyakan pemimpin Umno dan BN di Kedah.

“PKN bukan sebahagian daripada PN. Jadi, bagaimana 35 kedudukan ahli majlis diberikan kepada mereka?” soalnya.

Selain PKN, dua lagi pertubuhan yang berkaitan dengan anggota dan bekas anggota PKR yang menyokong Azmin ialah Pemuda Negara, diketuai bekas timbalan ketua AMK Dr Afif Bahardin, dan Nation of Women, diketuai Ketua Wanita PKR yang kini digantung keahlian, Haniza Talha.

Kata sumber itu lagi, pemimpin BN Kedah melihat ia salah satu cara mengukuhkan kem Azmin, dan mengakibatkan pengaruh BN dalam PN negeri semakin berkurang.

Ketika pentadbiran BN, katanya, parti komponen MCA dan MIC masing-masing mendapat 25 dan 12 kerusi, tetapi kini dua parti itu hanya mendapat lima kerusi.

“Tapi, kali ini MCA dan MIC dapat lima sahaja dan Umno dapat 40 kerusi,” katanya lagi.

Pengerusi MCA Kedah Goh Chin Cheung ketika dihubungi mengesahkan pembahagian kerusi itu.

“Ya, 35 diberikan kepada PKN. Tapi, mereka bukan dalam gabungan PN. Kami masih tunggu dan lihat perkembangan seterusnya,” katanya sambil menjelaskan pembahagian tersebut diputuskan dalam mesyuarat pengerusi parti-parti PN negeri.

Pengerusi BN Kedah Jamil Khir Baharom (gambar, atas) ketika dihubungiMalaysiakini pula enggan mengulas lanjut berkenaan perkara itu.

Penubuhan kerajaan PN Kedah pada pertengahan Mei lalu antara lain susulan keluarnya dua Adun PKR Dr Robert Ling Kui Ee (Sidam) dan Azman Nasrudin (Lunas) yang menjadi wakil rakyat bebas yang menyokong PN.

Kerajaan PN kini menguasai 23 daripada 36 kerusi DUN, iaitu PAS dengan 15 kerusi, Bersatu (empat), dan Umno dan Bebas masing-masing dua kerusi.

MB: PKN ada kuasa minta jawatan

Sementara itu, Menteri Besar Kedah Muhammad Sanusi Mad Nor berkata PKN mempunyai hak untuk meminta jawatan kerana memiliki dua wakil di Dewan Undangan Negeri.

“Ia adalah keputusan mesyuarat antara parti-parti dalam PN di Kedah -PAS, BN, Bersatu dan bekas PKR.

“Bekas PKR ini mungkin dirujuk sebagai NGO tersebut (PKN). Mereka ada kuasa untuk minta jawatan tersebut kerana ada dua kerusi DUN iaitu Lunas dan Sidam, sama seperti BN,” katanya kepadaMalaysiakini.

Bagaimanapun, Sanusi (gambar, atas) berkata beliau tidak terlibat dalam mesyuarat pembahagian kerusi ahli majlis PBT itu.

“Kerajaan negeri akan terima apa saja keputusan rundingan antara parti-parti PN untuk dilaksanakan dalam pentadbiran berkaitan pelantikan ahli majlis PBT,” katanya lagi.

Malaysiakini sudah menghubungi pihak Azmin bagi mendapatkan ulasan berhubung perkara ini dan sedang menunggu komen balas.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");