Kos penginapan yang tinggi di hotel mendorong kerajaan membenarkan rakyat Malaysia yang baru pulang dari luar negara untuk menjalani tempoh kuarantin di rumah sendiri.
Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah, berkata selain menjimatkan perbelanjaan kerajaan, kaedah itu juga diterima pakai oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).
Beliau berkata, langkah itu juga dibuat selepas mendapati peratusan rakyat dijangkiti COVID-19 selepas pulang dari luar negara adalah kecil.
“Dengan kadar (positif) yang rendah, kita rasa ada baiknya membenarkan mereka menjalani kuarantin di rumah. Memang ia diterima pakai WHO.
“Walaupun kuarantin di rumah, kita masih boleh memantau kerana mereka dikehendaki mendaftar dalam aplikasi MySejahtera.
“Dengan adanya aplikasi itu, kita boleh gunakan dan memberi gelang tangan untuk mereka kuarantin selama 14 hari serta membuat pemantauan dari semasa ke semasa,” katanya pada sidang media harian COVID-19 di Putrajaya, hari ini.