Berita Hari Ini

COVID-19: Terima kasih rakyat Malaysia, kita berjaya kawal virus – PM

Tan Sri Muhyiddin Yassin melahirkan rasa syukur selepas negara berjaya mengawal penularan COVID-19 tanpa peningkatan mendadak kes positif, biarpun sektor ekonomi dibuka semula.

Perdana Menteri berkata, kejayaan itu adalah hasil daripada langkah yang diambil kerajaan dan disiplin rakyat terutama petugas barisan hadapan serta pasukan keselamatan yang bekerja siang dan malam tanpa cuti atau rehat di hujung minggu.

“Alhamdulillah, dengan langkah yang diambil oleh kerajaan dan disiplin anda semua, penularan COVID-19 di negara kita dapat dibendung dengan lebih 80 peratus kes pulih sepenuhnya. Saya ingin merakamkan penghargaan kepada semua petugas barisan hadapan di atas pengorbanan dan komitmen yang dicurahkan.

“Saya juga mengucapkan terima kasih kepada semua rakyat Malaysia yang terus mematuhi prosedur operasi standard (SOP) dalam menjalankan aktiviti harian sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

“Sekiranya kita dapat terus mematuhi SOP yang ditetapkan dan kes COVID-19 kekal terkawal, saya yakin sektor-sektor yang masih dilarang pada masa ini akan dapat dibuka dengan lebih cepat” katanya.

Perdana Menteri berkata demikian ketika membentangkan Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (PENJANA) yang disiarkan secara langsung hari ini.

Berkongsi pengalamannya dikuarantin selama 14 hari kerana dikategorikan sebagai kontak rapat kes positif virus itu, Muhyiddin menjelaskan keputusan negatif diperolehnya adalah hasil amalan normal baharu terutama dalam penjarakan sosial.

Justeru, beliau menasihatkan supaya semua rakyat mengamalkan penjarakan sosial walau di mana berada kerana ia berupaya menjadi benteng terakhir daripada ancaman jangkitan virus terbabit.

“Sejak dua minggu yang lalu, saya menjalani kuarantin di rumah kerana dikategorikan sebagai kontak rapat seorang pegawai kerajaan yang disahkan positif COVID-19. Apa yang berlaku ini tidak dijangka tetapi inilah sifat virus yang sedang kita hadapi.

“Namun, Alhamdulillah keputusan saringan saya dan semua kontak rapat yang lain adalah negatif. Saya fikir antara sebabnya ialah penjarakan sosial yang sentiasa diamalkan dalam semua mesyuarat dan pertemuan yang saya hadir.

“Ini menunjukkan betapa pentingnya kita mengamalkan penjarakan sosial untuk mengelakkan diri kita daripada dijangkiti virus ini. Jadi, nasihat saya kepada saudara-saudari amalkanlah penjarakan sosial walau di mana sahaja saudara-saudari berada,” katanya.

Katanya, amalan normal baharu dapat dilihat apabila banyak premis memudahkan pelanggan dengan hanya mengimbas Kod QR tanpa lagi perlu mendaftar nama dan nombor telefon di dalam buku.

Malah, rakyat sabar berbaris sebelum memasuki premis seperti di pasar raya dan kedai makan dengan mengamalkan penjarakan sosial.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");