Berita Hari Ini

COVID-19 : USAS Tawar Tempat Pengajian Kepada Penuntut Malaysia Di Timur Tengah Yang Terjejas

KUALA KANGSAR – Universiti Sultan Azlan Shah (USAS) di sini sedia menawarkan tempat bagi pelajar Malaysia di Timur Tengah yang pulang ke tanah air kerana penularan wabak COVID-19 untuk menyambung pengajian mereka.

Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Pembangunan Modal Insan, NGO dan Masyarakat Sivil Negeri Perak, Razman Zakaria berkata, seramai 504 daripada 844 pelajar Perak di Mesir telah kembali ke tanah air sejak April lalu, kerana pandemik COVID-19.

“Pihak universiti di Timur Tengah tidak memberikan kata putus bila mereka akan buka semula dan kita tidak tahu berapa lama lagi pelajar ini terpaksa menunggu untuk pulang semula ke sana menyambung pengajian mereka.

“Jadi, kerajaan negeri merasakan lebih baik, sekiranya mereka menyambung pengajian di USAS dalam keadaan yang lebih selamat dan selesa,” katanya dalam sidang media di USAS di sini, hari ini.

USAS merupakan sebuah universiti swasta milik kerajaan negeri Perak yang ditubuhkan pada 1999 dengan nama Kolej Islam Darul Ridzuan (Kisdar) sebelum ditukar kepada Kolej Universiti Islam Sultan Azlan Shah (KUISAS) pada 2013 dan dinaiki taraf menjadi universiti penuh tiga tahun kemudian.

Sementara itu, Naib Canselor USAS, Tan Sri Prof Dr Nordin Kardi berkata pihaknya bersedia menerima kesemua pelajar yang terlibat pada bila-bila masa sekiranya mereka bersetuju untuk menerima tawaran menyambung pengajian di universiti tersebut.

Nordin berkata USAS mempunyai kemudahan yang cukup untuk membolehkan pelajar terbabit mengikuti pengajian secara dalam talian, namun sekiranya terdapat masalah capaian internet, kemudahan asrama akan ditawarkan dan ia mencukupi untuk menampung kesemua 800 yang terlibat.

“Kami akan berusaha untuk memudahkan perjalanan pengajian mereka termasuklah pemindahan kredit pengajian bagi mereka menyambung pengajian dalam kursus yang sedia ada di universiti ini.

“Malah, sekiranya mereka ingin bertukar ke bidang yang lain sekalipun, kami akan berusaha untuk memudahkannya supaya mereka dapat menamatkan pengajian mereka mengikut jadual,” katanya.

Nordin juga berharap Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Negeri Perak (MAIPk) serta Yayasan Perak dapat meneruskan dermasiswa kepada pelajar terlibat, sekiranya mereka bersetuju untuk menyambung pengajian di USAS. – Bernama

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");